KOTA KINABALU, 6 JULAI – Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot pam yang beroperasi tanpa lesen bersama lima kru di kedudukan 11 batu nautika Barat Daya Pulau Mengalum baru-baru ini.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, bot pam bersama lima orang kru tersebut berjaya ditahan bot peronda Maritim Malaysia hasil risikan dalam suatu operasi lebih kurang jam 11.50 pagi pada hari kejadian.
Jelas Datuk Che Engku Suhaimi, juragan beserta empat kru yang dipercayai warga Filipina itu ditahan bukan sahaja melakukan kesalahan memiliki hasil tangkapan yang disyaki menggunakan bahan letupan malah turut gagal mengemukakan dokumen diri yang sah.
Hasil pemeriksaan kesemua kru dipercayai telah melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/6.
Berikutan juragan gagal mengemukakan lesen bot yang dibenarkan, bot pam itu dikompaun di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Peraturan-Peraturan dan Dermaga 2008 (Kapal Kecil Berlesen Sabah).
Memiliki ikan atau hasil laut yang ditangkap menggunakan bahan letupan merupakan satu kesalahan yang sangat serius kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin terjejas.
Sekiranya didapati bersalah juragan dan kru bot boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM20 ribu atau penjara selama tempoh dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Komuniti Maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan - peraturan yang telah ditetapkan.
Sebarang kelakuan jenayah laut salurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan di talian 088-387774 atau hubungi MERS 999.
![]()


















.svg.png)

