KUANTAN, 5 JULAI – Maritim Negeri Pahang melalui Maritime Rescue Sub–Center (MRSC) Kuantan telah menerima panggilan daripada Pusat Operasi MAWILLA 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengenai penemuan sebuah bot nelayan asing Indonesia bersama tiga kru termasuk tekong hanyut ke perairan Malaysia lebih kurang 42 batu nautika timur laut Pulau Tioman pada sekitar jam 1.00 petang 3 Julai lalu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, Kapal TLDM, KD PERANTAU telah menunda bot tersebut ke kedudukan lebih kurang 2.1 batu nautika tenggara Kampung Juara perairan Pulau Tioman untuk urusan penyerahan kepada Maritim Malaysia.
Sebaik menerima laporan tersebut, BOT RONDA PERKASA 1246 telah diatur gerak ke lokasi.
Bot telah ditunda dengan bantuan bot nelayan tempatan dan selamat tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading sekitar pukul 9.00 malam, semalam.
Mangsa yang ditemukan selamat di atas bot terdiri daripada tekong, Shahbuddin, 50, bersama dua kru iaitu Firdaus, 42 dan Reno Hernandes, 32.
Ketiga-tiga mereka adalah warganegara Indonesia.
Keluarga mangsa juga turut dihubungi pihak Maritim Malaysia untuk pengesahan identiti sejurus mangsa selamat tiba di jeti tersebut.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada mangsa, bot yang mereka naiki dikenali sebagai KM BINTANG JAYA 9 dari Tanjung Balai Karimun, Natuna, Indonesia telah rosak dan hanyut selama enam hari di laut dan telah memasuki ke perairan negara sebelum dikesan dan ditemui oleh KD PERANTAU.
MRSC Kuantan dalam pada itu telah menghubungi pihak Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS) untuk mendapatkan pengesahan mengenai laporan kehilangan bot dan pihaknya mengesahkan bahawa bot itu dilaporkan gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
Pemakluman situasi kejadian kepada pihak Konsulat Indonesia telah dilakukan dan masih menunggu maklum balas rasmi BASARNAS.
Maritim Malaysia sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti Maritim setempat serta mengalu-alukan untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

