LUMUT, 21 MEI – Maritim Negeri Perak merampas sebanyak 61 set bubu naga atau bubu kamban di dua kedudukan berbeza sekitar 1.8 batu nautika dari barat daya Pulau Talang, Perak dan 1.6 batu nautika dari barat Pantai Remis, Perak pada sekitar jam 3.10 petang Ahad lalu dan 12.45 tengah hari semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, kesemua bubu ini dikesan oleh sepasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan dengan penemuan bendera berwarna merah dan putih serta botol minuman yang dijadikan pelampung yang diikat pada pancang kayu mencurigakan di lokasi terbabit
Jelas beliau, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bendera berwarna merah dan putih mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang kayu adalah penanda kepada bubu naga ini dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.
Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM4 ribu itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.





















.svg.png)

