LAHAD DATU, 17 MEI – Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah bot pam di kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika di perairan Pulau Sakar, Lahad Datu kerana disyaki cuba melakukan aktiviti bom ikan petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna binti Razali Chan berkata, hasil rondaan yang dilakukan, bot ronda Maritim Malaysia menerusi OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS berjaya mengesan sebuah bot pam berwarna biru dalam keadaan mencurigakan pada sekitar jam 2.15 petang.
Hasil pemeriksaan mendapati bot itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).
Namun, dua lelaki dewasa yang menaiki bot itu berjaya melarikan diri dengan terjun dan berenang ke pesisir daratan berhampiran selepas menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia.
Bot ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Turut dirampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, enam botol bom ikan, peralatan menyelam dan lima set jaring menyimpan ikan.
Komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana perbuatan itu adalah menyalahi undang-undang malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga membahayakan nyawa.
Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

