LAHAD DATU, 17 November – Zon Maritim Lahad Datu berjaya mematahkan aktiviti dua buah bot pam yang sedang melakukan aktiviti mengebom ikan lebih kurang 0.1 batu nautika di kawasan Selatan Pantai Bangingod, Lahad Datu semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam bin Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah berjaya mengesan dua buah bot pam berwarna biru coklat dan merah biru melalui aduan awam lebih kurang pukul 1.40 tengah hari pada hari yang sama.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).
Komander Maritim Nik Mohd Rizam turut memaklumkan, dipercayai 4 kru bot warga Filipina yang berusia antara 18 tahun hingga 35 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran yang sah .
Turut dirampas dua buah enjin bot, satu penyauk ikan, 5 ekor ikan disyaki hasil dari bom dan sebotol bom ikan.