KOTA TINGGI, 22 JULAI – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) kes perlanggaran kapal tangki MT HAFNIA NILE dan kapal tangki MT CERES I telah ditamatkan pada pukul 1.00 petang tadi.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil berkata, hasil pemantauan pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapati kebakaran pada kedua-dua kapal tangki terbabit telah dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan kesemua 22 kru kapal tangki MT HAFNIA NILE serta 14 orang kru kapal tangki MT CERES I berada dalam keadaan selamat dan stabil di Singapura.
Manakala baki 26 orang kru kapal tangki MT CERES I disahkan selamat berada di atas kapal MT CERES I berdasarkan laporan daripada nakhoda kapal terbabit.
“Untuk tindakan lanjut, kedua-dua kapal tangki terbabit akan ditunda ke lokasi yang selamat bagi membolehkan siasatan lanjut dan punca kejadian disiasat oleh pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS).
“Pengurusan kawalan tumpahan minyak yang dilaporkan juga akan dikoordinasikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)”, tambah beliau lagi.
MRSC Johor Bahru bertanggungjawab mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat di perairan Johor timur yang seluas 10,445 kilometer persegi dengan panjang pantai sejauh 254 km.
Pihak MRSC Johor Bahru juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang terlibat di dalam Op CARILAMAT ini yang berlaku di perairan Malaysia sejak 19 Julai lalu.










