PUTRAJAYA, 17 JULAI – Detik bersejarah bakal tercipta apabila seramai 46 anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan berlepas ke Baltimore, Amerika Syarikat pada 18 Julai ini bagi menjalankan misi penting membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast ke tanah air.
Pasukan ini merupakan kru pertama bagi kapal berkenaan yang bakal menjadi asset baharu Maritim Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara khususnya di perairan Laut China Selatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, dalam satu sesi amanat khas bersama kru terbabit semalam, menyifatkan misi ini sebagai lipatan sejarah yang membanggakan bukan sahaja kepada Agensi, tetapi buat Malaysia keseluruhannya.
“Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia. Jaga nama baik negara, kekalkan integriti dan tunjukkan disiplin tinggi sepanjang anda semua berada di sana,” tegas beliau.
Dalam ucapan yang sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, atas kelulusan dalam proses penerimaan kapal ini daripada pihak US Coast Guard.
“Tanpa sokongan padu Kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan. Ini bukti bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia,” tambahnya.
Turut hadir pada majlis berkenaan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Encik Nor Hisham bin Ibrahim serta Pengarah-pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.
Sementara itu, mengulas ucapan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pagi semalam, yang mengharapkan penjawat awam mempunyai kompetensi dan kemahiran dalam menjalankan tugas di samping melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, beliau menyambut baik kenyataan berkenaan dan menyatakan ia adalah perkara penting yang ditanamkan kepada diri setiap pegawai dan anggota Maritim Malaysia.
“Perkara tersebut perlu ada kepada setiap Penguat Kuasa Maritim Malaysia, ini kerana tanpa kompetensi dan kemahiran aset Agensi tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya. Manakala jika amanah tidak dijadikan teras utama, maka perairan negara akan dipenuhi dengan ancaman jenayah maritim sekaligus membahayakan kepada negara,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, seramai empat kru Maritim Malaysia telah berada di Baltimore sejak Mei lalu bagi menjalani latihan penyesuaian dan pemeriksaan teknikal ke atas kapal berkenaan sebagai persiapan awal sebelum pelayaran pulang.
Kapal EX-USCG Cutter Steadfast ini memiliki saiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar, serta mampu mencapai kelajuan sehingga 18 knots. Kapal berkenaan dijangka akan tiba di Malaysia pada pertengahan November 2025 nanti.













