PULAU PINANG, 30 OGOS – Sebuah bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan satu tangkapan terhadap pekerja sangkar ikan di perairan Batu Kawan, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli berkata, pemeriksaan pertama dilaksanakan pada sebelah pagi oleh sebuah bot peronda milik Maritim Malaysia terhadap beberapa buah sangkar ikan yang beroperasi di sekitar perairan itu.
Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sebuah sangkar ikan yang berada di kedudukan 2.4 batu nautika barat Batu Kawan menggajikan tiga orang pekerja warga Myanmar dan kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut Suffi lagi, ketiga - tiga pekerja sangkar ikan terbabit berumur dalam lingkungan 20 hingga 36 tahun telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.
Kesemua kru telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.










