25
Sat, Jul

OPV 1 UJI KEMAMPUAN DALAM EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT

PULAU PINANG, 30 November – Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) turut berada di dalam kelompok 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kini sedang melakukan fasa sea trial terhadap OPV1 dan ia kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal lain.

Katanya lagi, penyertaan kapal berkenaan dalam eksesais yang dilaksanakan oleh Agensi ini adalah bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya OPV1 sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia.

Tambah beliau, kapal yang berada dalam fasa sea trial itu bakal diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja di atas KM Pekan bagi memantau kesiagaan semua kapal dan anggota-anggota penguat kuasa yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Turut bersama pada sesi lawatan kerja berkenaan Pengarah Ekesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah dan Pegawai Pemerintah KM Pekan, Kepten Maritim Mohd Yusri Hussin.

OPV1 bernombor 8305 ini berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Ia juga dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.

Terdahulu pada sesi lawatan tersebut, Datuk Hamid menyatakan harapan beliau agar kesemua kapal yang mengikuti eksesais pada kali ini mencapai tahap yang dihasratkan selain ia dapat meningkatkan kompetensi hampir 500 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang menyertai eksesais ini di samping mereka bersedia dengan keadaan operasi sebenar di masa akan datang.

 

WhatsApp Image 2023 11 30 at 2.16.13 PM 2   WhatsApp Image 2023 11 30 at 2.16.14 PM 1   WhatsApp Image 2023 11 30 at 2.16.14 PM 2   WhatsApp Image 2023 11 30 at 2.16.15 PM 1

GAGAL MELAPORKAN KETIBAAN DI PERAIRAN PULAU PANGKOR, KAPAL KARGO DITAHAN

LUMUT, 30 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah kapal kargo yang gagal melaporkan ketibaan di perairan Pulau Pangkor kepada Jabatan Laut Malaysia di kedudukan 14.2 batu nautika barat laut pulau itu sekitar jam 15.01 pada petang Selasa, 28 November lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, kapal kargo sepanjang 190 meter yang berdaftar di Hong Kong itu telah dikesan pada Jumaat lalu, 24 November ketika sedang bersauh melalui cerapan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut, Perak.

Tambahnya, walaupun arahan untuk membongkar sauh dan beredar telah dikeluarkan namun kapal itu enggan berbuat demikian.

Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG, OP PINTAS, OP TANJUNG dan OP TIRIS telah diatur gerak ke kedudukan kapal kargo itu untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati, kapal kargo itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dibantu oleh 21 kru terdiri daripada warga China dan Myanmar telah melakukan kesalahan gagal melaporkan ketibaan kepada Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia.

Penahanan dibuat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 449 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan dibaca bersama Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan Persekutuan 1953 (Report of arrival) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kru bersama kapal ditahan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 11 30 at 11.29.22 AM

KAPAL TANGKI DITAHAN KERANA BERSAUH SECARA HARAM

KOTA TINGGI, 28 November – Sebuah kapal tangki telah ditahan Zon Maritim Tanjung Sedili kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia pada jam 11.00 pagi di kedudukan 15.8 batu nautika timur laut Tanjung Penawar setelah nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh ketika diperiksa.

Kapal terbabit dikendalikan oleh 17 orang kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Pakistan, India dan Bangladesh berumur diantara 21 hingga 58 tahun.

Kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

KAPAL DAGANG   KAPAL DAGANG 2

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN 413 PATI MASUK SECARA HARAM MELALUI SELAT MELAKA

KLANG, 28 November – Maritim Malaysia melaksanakan penguatkuasaan di kawasan perairan Selat Melaka sepanjang tahun ini berjaya menumpaskan 51 kes cubaan menyeludup masuk 413 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony berkata, data berkenaan jelas menunjukkan iltizam Maritim Malaysia memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) selamat daripada ancaman jenayah dan aktiviti salah laku maritim seperti rompakan, pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban serta kemasukan PATI atau mana-mana pihak melalui jalan laut secara haram.

Beliau menambah, selain rondaan dan operasi secara berterusan, Maritim Malaysia juga melaksanakan latihan berbentuk operasi di laut bagi mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia dalam melakukan tugasan yang diberikan.

Ujarnya lagi, untuk itu Maritim Malaysia melaksanakan EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT Siri 6/2023 bermula pada 26 November lalu di Klang, Selangor dan bakal berakhir di Langkawi pada 3 Disember depan.

Bakal melalui perairan Selat Melaka sepanjang 630 batu nautika, Vincent memaklumkan eksesais ini adalah kesinambungan daripada kejayaan EKSESAIS MARITIM PERKASA TIMUR 2023 yang diadakan di kawasan perairan Sabah dan Sarawak baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Ekesais (EXCON), Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah dan Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Sharenliza Ghazali.

EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT Siri 6/2023 melibatkan 500 pegawai dan anggota dengan kekuatan 15 aset laut terdiri daripada Kelas OPV (2 unit), Kelas NGPC (2 unit), Kelas GAGAH (1 unit), Kelas RAMUNIA (1 unit), Kelas NUSA (2 unit) dan Kelas TUGAU (7 unit).

Selain itu dua pesawat udara milik agensi iaitu helikopter AGUSTA WESTLAND AW 139 dan AS 365 N3 DAUPHIN turut diatur gerak dalam eksesais ini.

EKSESAIS MARITIM PERKASA BARAT Siri 6/2023 bakal menjalani tiga fasa latihan bermula dengan Fasa Pelabuhan iaitu sesi taklimat siri latihan dan sesi 'Table Top' yang dilaksanakan pada 26 dan 27 November lalu di Klang Selangor.

Selepas fasa berkenaan, pegawai dan anggota akan melalui fasa kedua iaitu Fasa Laut di mana aset-aset yang terlibat akan melakukan pelayaran dari Perairan Klang ke Pulau Langkawi bermula 28 November hingga 1 Disember 2023.

Fasa terakhir merupakan Fasa Penutup Eksesais iaitu sesi Post Exercise Debrief (PXD) akan dilaksanakan di Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Langkawi pada 2 dan 3 Disember 2023 bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan untuk edisi akan datang.

 

VINCENT PERKASA 3   VINCENT PERKASA 4

SEMBILAN WARGA ASING DIHUKUM PENJARA, TANGKAP IKAN TANPA PERMIT DI PERAIRAN MALAYSIA

KUCHING, 27 November – Sembilan warga Indonesia telah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Seksyen pada hari ini selepas mengaku bersalah menangkap ikan tanpa permit yang sah di perairan Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata, mahkamah terlebih dahulu mengenakan hukuman denda kepadasetiap seorang dengan sebanyak RM1 juta bagi tekong dan RM100 ribu hingga RM200 ribu bagi awak-awak.

Kesemua sembilan warga Indonesia itu gagal membayar denda dan mereka telah dikenakan hukuman penjara bagi tempoh empat hingga tujuh bulan mulai dari tarikh tangkapan iaitu 17 November lalu.

Kesemua suspek telah mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 iaitu gagal memaklumkan notifikasi pelayaran kepada Jabatan Perikanan Malaysia, oleh itu Mahkamah memerintahkan kesemua mereka di tempatkan di Penjara Puncak Borneo.

Sementara itu, mahkamah juga mengarahkan vesel serta hasil lelongan minyak dan ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Zin Azman menjelaskan, tangkapan mengenai kes ini difahamkan berlaku di perairan Malaysia dan bukan berhampiran dengan garis sempadan Malaysia – Indonesia.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana bot nelayan asing yang memasuki dan melakukan aktiviti perikanan secara tidak sah dengan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Susulan itu, pihak Maritim Negeri Sarawak memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim, agar sentiasa membantu bagi melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah di laut menerusi aduan ke talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak (082-432544) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

(Gambar ihsan daripada Suara Sarawak)

 

PATI PENJARA

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON