PELABUHAN KLANG, 19 DISEMBER – Dua lelaki warga tempatan yang keluar memancing menaiki jetski berdepan detik-detik cemas apabila mereka didapati hilang di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Pintu Gedong pada Selasa, 17 Disember lalu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima aduan daripada anak salah seorang mangsa yang memaklumkan insiden kehilangan bapa beliau, Shahrul Hisham bin Mohd Tahir, 50 tahun bersama Micheal Januarius, 68 tahun ketika keluar memancing dengan menaiki jetski pada Selasa.
Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada jam 2.00 pagi semalam dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Royal Youth Club Selangor yang turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Pada sekitar jam 3.45 petang semalam, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, sebuah kapal tanker (Aurora Tankers) telah menemukan dua mangsa tersebut bersama sebuah
jetski dalam keadaan terbalik pada kedudukan 19.8 batu nautika dari barat Pulau Pintu Gedong dan telah menyelamat kedua-dua mangsa tersebut.
Kedua-dua mangsa telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dengan bot Polis Marin (PA 49) dan telah selamat tiba pada jam 8.35 malam semalam.
Salah seorang mangsa memaklumkan kepada anggota penyelamat, insiden tersebut berlaku apabila jetski yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin akibat tali sauh yang tersangkut di bahagian 'impeller'.
Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika berada di laut dengan mengambil langkah-langkah keselamatan.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
![]() |
![]() |































.svg.png)

