LUMUT, 7 MAC – Pemilik 30 set bubu naga yang dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak berdepan hukuman denda sehingga RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika individu tidak bertanggungjawab itu ditahan atas kesalahan tersebut.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob, memaklumkan bahawa rampasan 30 set bubu naga itu dilakukan sekitar pukul 10.20 malam semalam di kedudukan 3.5 batu nautika Timur Laut Pulau Talang, Perak.
Jelas Shukri, operasi tersebut dijalankan selepas pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin mengesan bendera dan pelampung mencurigakan di permukaan air.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 30 set bubu naga bernilai kira-kira RM3 ribu. Semua peralatan ini telah dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, kerana penggunaan kaedah penangkapan ikan yang tidak dibenarkan.
Shukri dalam pada itu turut menyeru komuniti maritim dan orang ramai agar mematuhi undang-undang perikanan dan turut memberi amaran jangan kerana untung yang besar kelestarian sumber laut negara tergadai.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk membanteras aktiviti perikanan haram. Sebarang pelanggaran undang-undang di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999,” tambahnya.
Maritim Malaysia komited untuk meneruskan usaha penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dan lestari, sekaligus melindungi hasil laut untuk generasi akan datang.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.















.svg.png)

