PASIR PUTEH, 8 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan telah mengadakan kolaborasi strategik bersama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (PK KDN) Negeri Kelantan bagi menjayakan Program Pemuliaan (Pelupusan) Abu Al-Quran Tahun 2026 yang berlangsung semalam.
Dalam program tersebut, Maritim Malaysia telah bertindak menyediakan pengangkutan serta mengendalikan aspek keselamatan maritim sepanjang pergerakan peserta dari Jeti APMM Tok Bali ke lokasi pelupusan di perairan laut.
Bagi memastikan kelancaran program ini, sebanyak tiga aset utama Maritim Malaysia telah dilibatkan, iaitu Kapal Maritim Jujur, Bot Penyelamat 7, dan Bot Penggalang 18.
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk memastikan bahan-bahan Al-Quran yang telah rosak, tidak lagi sesuai digunakan atau telah diproses mengikut tatacara yang ditetapkan, dapat dilupuskan secara teratur, selamat dan mematuhi garis panduan serta ketetapan yang berkuat kuasa.
Selain penyediaan pengangkutan logistik, pihak Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan turut memberikan khidmat nasihat teknikal berkaitan kesesuaian lokasi, keadaan cuaca, pasang surut air laut serta keselamatan perairan bagi memastikan seluruh perjalanan aktiviti berada dalam keadaan terkawal dan selamat.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam mendukung inisiatif kemasyarakatan dan keagamaan bersama agensi kerajaan lain di samping menggalas tanggungjawab utamanya menjaga keselamatan perairan negara.













.svg.png)

