TAWAU, 26 FEBRUARI – Dua bot ditahan dalam tempoh kurang sejam oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam operasi awal pagi tadi selepas dikesan melanggar syarat lesen serta membawa muatan tanpa permit sah.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, tindakan berkenaan dilaksanakan oleh sepasukan penguat kuasa Maritim Malaysia ketika menjalankan OP SEJAHTERA, OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS di perairan selatan Batu 3, Tawau.
Kata beliau, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 2.00 pagi melibatkan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang dikesan menunda pukat pada jarak kurang daripada dua batu nautika dari daratan, iaitu kira-kira 1.7 batu nautika selatan Batu 3.
Pemeriksaan awal mendapati, empat kru lelaki warga Indonesia berusia antara 34 hingga 44 tahun memiliki dokumen pengenalan diri dan lesen perikanan yang sah. Namun, semakan lanjut mendapati, vesel berkenaan melanggar syarat lesen kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan di bawah jarak yang dibenarkan.
Tidak sampai sejam kemudian, sebuah bot kargo pula ditahan pada kedudukan 2.1 batu nautika selatan Batu 3 selepas juragan tempatan berusia 27 tahun gagal mengemukakan permit membawa 12 tong gas petroleum cecair (LPG) berisi.
Hasil pemeriksaan mendapati, nama juragan terbabit tiada dalam daftar lesen bot, sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan pihak berkuasa.
Kesemua individu bersama bot dan muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot, enjin dan muatan dianggarkan hampir RM85 ribu.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.
“Operasi penguatkuasaan akan dipertingkat khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman perairan sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai supaya terus menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.















.svg.png)

