PELABUHAN KLANG, 13 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua bot fiber yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat Sungai Tambak Jawa Kecil, Kapar, sekitar pukul 11.00 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua tangkapan tersebut dilakukan oleh sebuah kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin operasi di perairan Selangor.
Menurut beliau, semasa rondaan dijalankan, anggota operasi telah mengesan kedua-dua vesel terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, kedua-dua vesel tersebut dikendalikan oleh dua tekong warga tempatan masing-masing berumur 47 dan 62 tahun,” katanya.
Pemeriksaan lanjut mendapati, salah satu vesel membawa empat batang pokok yang menurut tekong berkenaan bertujuan untuk ditanam di kawasan perairan Sungai Janggut, manakala sebuah lagi vesel tidak mempunyai nombor pendaftaran dan membawa tujuh warga asing berumur antara 22 hingga 45 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tenaga kerja bagi aktiviti penanaman pokok tersebut.
Bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi mendapati enam daripada warga asing tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala seorang lagi mempunyai dokumen yang lengkap.
Kesemua individu terbabit bersama kedua-dua vesel kemudiannya diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Kes bagi vesel pertama disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti selain menangkap ikan, manakala vesel kedua disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana tidak mempunyai dokumen serta nombor pendaftaran.
Enam warga asing yang tidak memiliki dokumen sah pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Abdul Muhaimin menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di laut dan akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk tindakan segera.
DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN
MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN
MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL
BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN
REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS
MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000
LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN
MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026
LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.
Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.
Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.
Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.
















.svg.png)

