MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PEGAWAI MEMERINTAH KM TENGGOL
LANGKAWI, 11 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis telah mengadakan Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah Kapal Maritim (KM) TENGGOL yang berlangsung di ruang legar Pejabat Pengurusan Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis pagi tadi.
Majlis tersebut menyaksikan Leftenan Komander Maritim Ahmad Shakur bin Jamaludin secara rasmi menyerahkan tugas sebagai Pegawai Memerintah KM TENGGOL kepada pegawai yang baharu iaitu Leftenan Komander Maritim Mohd Faizal bin Abdul Rahman.
Majlis serah terima tugas berkenaan telah disaksikan oleh Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa bersama pegawai-pegawai kanan serta anggota kapal KM TENGGOL.
Dalam majlis tersebut, penghargaan turut dirakamkan kepada Leftenan Komander Maritim Ahmad Shakur bin Jamaludin atas komitmen, dedikasi serta kepimpinan beliau sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah KM TENGGOL dalam memastikan kesiapsiagaan aset serta keberkesanan operasi penguatkuasaan di perairan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Romli dalam ucapannya turut menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu di bawah Leftenan Komander Maritim Mohd Faizal bin Abdul Rahman akan terus memperkukuhkan keupayaan operasi KM TENGGOL dalam melaksanakan penugasan menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara, khususnya di perairan Kedah dan Perlis.
Majlis tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan kesinambungan kepimpinan serta kecemerlangan operasi bagi menjamin keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.