PORT DICKSON, 20 Julai – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 15 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), termasuk seorang tekong, melalui laluan laut yang tidak diwartakan dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Port Dickson, malam semalam.
Timbalan Pengarah Operasi yang menjalankan tugas Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi bin Hassan berkata, hasil maklumat pengesanan radar daripada Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut membawa kepada kejayaan Maritim Malaysia menahan kegiatan penyeludupan migran yang dikesan masih aktif menggunakan laluan laut bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.
Tambahnya, kira-kira jam 9.00 malam pada 19 Julai, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni dan Op Tiris mengesan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira 10 batu nautika ke barat Tanjung Tuan, Negeri Sembilan.
Bot berkenaan diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, namun tekong bertindak memecut laju dan cuba meloloskan diri daripada diperiksa. Anggota Maritim Malaysia kemudian melaksanakan tindakan pengejaran sebelum berjaya memintas dan menahan bot tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa seramai 15 individu berusia antara 20 hingga 47 tahun, terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh.
Semakan awal juga mendapati lima individu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan, manakala 10 lagi memiliki pasport tetapi dipercayai tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia sebelum cuba keluar dari negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.
Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah menggunakan bot pancung untuk membawa keluar PATI melalui laluan laut yang sukar dikesan bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa. Kesemua PATI bersama seorang tekong serta sebuah bot pancung telah ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.













.svg.png)

