LUMUT, 5 Mac – Maritim Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan kelas B bersama lapan nelayan termasuk tekong dan kru di kedudukan 6.5 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-lomba, Perak dan 6.6 batu nautika barat daya Tanjung Sungai Tiang, Perak kira-kira sekitar jam 11.35 pagi dan 11.40 pagi, semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, kedua-dua bot terbabit dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot ronda ketika melakukan rutin operasi menerusi OP SAYONG, OP PINTAS dan OP TIRIS di sekitar perairan negeri Perak.
Pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot berkenaan dikendalikan oleh dua tekong warga tempatan bersama enam kru warga tempatan dan Myanmar berumur dalam lingkungan 36 hingga 67 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati, tiga orang kru warga Myanmar lain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kedua-dua bot terbabit beroperasi kurang daripada 8 batu nautika dari daratan.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan kira-kira 400 kilogram ikan campur di atas kedua-dua bot berkenaan.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana kedua-dua bot terbabit beroperasi kurang daripada 8 batu nautika dari daratan.
Kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.