23
Thu, Apr

PERKEMBANGAN KES TEMBAKAN DUA ANGGOTA MARITIM MALAYSIA

TAWAU, 8 APRIL – Tiga suspek kejadian tembakan di perairan Kunak yang mengakibatkan dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera dipercayai dari kumpulan yang berada dalam senarai dikehendaki pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Maritim Malaysia turut percaya kesemua suspek merupakan individu yang terlibat dalam siri rompakan di laut serta berkemungkinan mempunyai jaringan dengan beberapa kumpulan jenayah rentas sempadan.

Berdasarkan maklumat berkenaan, Maritim Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat (STAR Team), pasukan pesawat udara Maritim Malaysia, pasukan Perisikan Maritim serta dibantu pasukan ESSCOM bagi mengesan dan memburu kesemua suspek tersebut.

Terdahulu kejadian berkenaan berlaku pada pagi Ahad 7 April apabila sebuah bot enjin sangkut berwarna biru, yang dinaiki suspek telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot BANGGI 48 milik Maritim Malaysia ketika anggota bot cuba mendekati bot suspek untuk pemeriksaan rutin Operasi Khas Pagar Laut.

Berikutan itu, anggota penguat kuasa Bot BANGGI 48 yang terdiri seramai enam orang anggota membalas tembakan ke arah suspek sebagai tindakan mempertahankan diri serta cubaan menangkap kesemua suspek tersebut.

Suspek kemudiannya melarikan diri dengan memecut laju bot yang sama ke arah sempadan perairan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia turut menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

 

ANGGOTA DITEMBAK

OP KHAS PAGAR LAUT | DUA ANGGOTA MARITIM MALAYSIA CEDERA TERKENA TEMBAKAN

LAHAD DATU, 7 APRIL – Dua anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera selepas berhadapan kejadian tembak menembak di perairan Kunak pada pukul 8.40 pagi hari ini.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, mangsa terbabit ialah Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel 45 tahun, yang juga ketua bot Banggi 48 cedera di mata kanan manakala seorang lagi kru bot yang sama, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin 35 tahun cedera di kedua-dua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan pihak penjenayah. Manakala, empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelas beliau, berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 ketika bot berkenaan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi OP KHAS PAGAR LAUT di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

Tambah beliau lagi, apabila pasukan peronda cuba menghampiri, suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka. Suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut.

Berikutan kejadian terbabit, Maritim Malaysia bersama pihak ESSCOM telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat (STAR Team), pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.

Dalam pada itu, kedua-dua anggota Maritim Malaysia yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak bagi diberikan rawatan segera.

 

ANGGOTA DITEMBAK 2
 
ANGGOTA DITEMBAK 3
 
ANGGOTA DITEMBAK 4

MASIH BERDEGIL, LAGI 30 SET BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN PULAU TALANG

LUMUT, 6 APRIL – Masih berdegil, itu istilah yang sesuai diberikan kepada individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab kerana masih memasang bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) untuk aktiviti perikanan di perairan Pulau Talang, Perak.

Ini berikutan pihak Maritim Negeri Perak telah merampas bubu naga yang dipasang sekitar kawasan pulau berkenaan untuk kali ke 21 tahun ini dan rampasan kali ini adalah melibatkan sebanyak 30 set bubu naga yang diletakkan di kedudukan sekitar 0.4 batu nautika dari timur laut pulau terbabit.

Pengaranya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, ketika sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG / OP TIRIS dan OP KHAS PAGAR LAUT, pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai perairan pulau berkenaan kira-kira pada jam 6.45 petang khamis lalu.

Jelas beliau, tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bendera berwarna merah mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang kayu adalah penanda kepada bubu naga ini dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM2 ribu itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

BUBU NAGA LUMUT
 
BUBU NAGA LUMUT 3

PADAH LANGGAR SYARAT LESEN, BOT NELAYAN KELAS B DITAHAN

LUMUT, 6 APRIL – Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 4.0 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Perak pada jam sekitar 11.30 malam Jumaat lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bot terbabit dikesan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam OP SAYONG / OP TANJUNG / OP PINTAS / OP TIRIS dan OP KHAS PAGAR LAUT di sekitar perairan negeri Perak.

Pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua nelayan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, beroperasi kurang dari lima batu nautika dari daratan dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen serta menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran.

Kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

LANGGAR SYARAT LUMUT
 
LANGGAR SYARAT LUMUT 3
 
LANGGAR SYARAT LUMUT 4

OP KHAS PAGAR LAUT | DUA BOT DITAHAN DALAM TEMPOH 24 JAM

LANGKAWI, 3 APRIL – Maritim Negeri Kedah dan Perlis menahan dua bot nelayan pukat jerut di kedudukan lebih kurang lapan batu nautika dari barat Tanjung Belua malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kedua-dua bot itu ditahan ketika sedang menaikkan pukat mereka.

Bot pertama ditahan lebih kurang pada jam 12.30 malam bersama 24 kru warga Thailand berusia dalam lingkungan 24 hingga 61 tahun. Manakala, bot kedua ditahan 20 minit kemudian.

Siasatan awal ke atas bot kedua mendapati, terdapat 21 kru masing-masing warga Kemboja dan Thailand berusia dalam lingkungan 19 hingga 55 tahun.

Tangkapan ini merupakan tangkapan pertama oleh Maritim Negeri Kedah dan Perlis di bawah perintah OP KHAS PAGAR LAUT yang telah diaktifkan sempena musim cuti perayaan.

Kru, tekong dan kedua-dua bot itu ditahan bersama ikan campur seberat 500 kilogram dan telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

Untuk rekod, kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti itu dilakukan ketika bot ingin melepasi jarak 15 batu nautika dari pantai.

Aktiviti perikanan kurang 15 batu nautika dari pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

 

LANGKAWI TAHAN BOT
 
LANGKAWI TAHAN BOT 2
 
LANGKAWI TAHAN BOT 3

 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON