17
Wed, Jun

DUA BOT NELAYAN ASING DITAHAN, CEROBOH PERAIRAN NEGARA

KUCHING, 9 Mac – Maritim Negeri Sarawak menahan dua bot nelayan asing dari Vietnam dan Indonesia kerana melakukan aktiviti perikanan tanpa permit di perairan negara dalam dua hari berbeza iaitu pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, penahanan itu dibuat KM TUN FATIMAH dalam OP PERMAI, OP TIRIS 3.0, OP KHAS NAGA TIMUR dan OP KHAS RAJA LAUT 2.0 di perairan negeri itu pada kedudukan 113 Batu nautika Utara Tanjung Po pada jam 10.30 malam (Khamis).

Hasil pemeriksaan Maritim Malaysia, terdapat tiga kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 40 sehingga 44 tahun berada di atas bot berkenaan ketika penahanan dibuat di mana kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan pencerobohan dan melakukan aktiviti perikanan di perairan negara.

Dalam pada itu, KM TUN FATIMAH turut menahan sebuah bot nelayan Indonesia kerana melakukan kesalahan yang sama di kedudukan 82 Batu nautika Utara Tanjung Po, pada pukul 4.10 pagi, Jumaat lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati, seramai empat kru termasuk tekong warga Indonesia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berumur dalam lingkungan 30 sehingga 43 tahun berada di atas bot itu ketika penahanan dibuat.

Kedua-dua bot beserta hasil tangkapan bernilai lebih RM3 juta dan kru bot ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk tindakkan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit di perairan Malaysia.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 82-432544 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 03 09 at 3.10.11 PM
 
WhatsApp Image 2024 03 09 at 3.10.33 PM

SEORANG KRU NELAYAN DIPERCAYAI JATUH LAUT DI PERAIRAN PULAU PEMANGGIL

MERSING, 9 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing meneruskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan kru bot nelayan tempatan berbangsa Melayu dipercayai terjatuh ke dalam laut pada kedudukan lebih kurang 3.3 batu nautika barat laut Pulau Pemanggil lebih kurang 4.10 petang semalam.

Mangsa Mohamad Sufian Bin Alwi, 32, seorang warga tempatan yang bekerja sebagai kru bot nelayan terakhir kali dilihat memakai seluar pendek berwarna hijau dan tidak berbaju.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Bin Zakaria berkata, Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua dengan mengatur gerak bot PERKASA 31 dan dibantu oleh Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Persatuan Nelayan Mersing dan komuniti nelayan setempat pada pukul 7.00 pagi tadi.

Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Pejabat Zon Maritim Mersing . Kawasan pencarian dipecahkan kepada empat sektor dengan keluasan 74 batu nautika persegi.

Terdahulu, operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada 8 Mac pada pukul 5.00 petang semalam.

Sebarang maklumat, aduan dan serta situasi kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199401 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

CARILAMAT MERSING 3
 
CARILAMAT MERSING 2

MARITIM MALAYSIA TAHAN DUA BOT ASING VIETNAM, RAMPAS 1.3 TAN HASIL IKAN

KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Maritim Negeri Terengganu berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara di dua lokasi berbeza di perairan Terengganu, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali berkata, kedua-dua buah bot nelayan asing Vietnam terbabit berjaya ditahan oleh kapal peronda maritim KM REDANG melalui OP NAGA BARAT lebih kurang pada jam 12.30 dan 1.30 tengah hari di kedudukan lebih kurang 137 batu nautika Timur Muara Kuala Terengganu.

Seramai 19 nelayan warga Vietnam beserta tekong, berusia dalam lingkungan umur 28 hingga 55 tahun diperiksa, didapati kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Kedua-dua bot nelayan asing itu juga tidak memiliki permit untuk menangkap ikan serta telah melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara.

Sehubungan itu, kesemua mereka ditahan dan kedua-dua bot beserta 1.3 tan hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.

Kesemua hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM3 juta.

Proses mengiring bot-bot tahanan mengambil masa melebihi 30 jam. Bot tahanan bersama kesemua nelayan asing terbabit tiba di Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar pukul 9 malam semalam dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Berikutan berakhirnya Monsun Timur Laut pada bulan ini, bot-bot nelayan asing terutamanya Vietnam akan cuba untuk mengambil peluang menceroboh dan menangkap hasil laut negara.

Maritim Malaysia tidak akan membenarkan sama sekali. Kita akan perkasakan operasi terutamanya OP NAGA dalam mengekang bot nelayan asing ini,” ujarnya.

OP NAGA merupakan operasi bersepadu pelbagai agensi bertujuan menangani pencerobohan bot nelayan asing dan mengelak kehilangan sumber hasil laut negara telah diaktifkan sejak April 2019.

Sehingga akhir 2023, OP NAGA BARAT telah mencatatkan sebanyak 72,118 pemeriksaan dengan melibatkan 595 tangkapan. Nilai hasil keseluruhan tangkapan adalah melebihi RM 1 bilion. Sejak OP NAGA diaktifkan, data dari Jabatan Perikanan Malaysia merekodkan hasil tangkapan ikan negara telah meningkat sebanyak 2.5 peratus.

Justeru itu, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim terutamanya untuk terus menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga untuk pasukan penguat kuasa dalam mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut terutamanya membabitkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara.

 

K. TGNU VIETNAM 2
 
K. TGNU VIETNAM 3

KAPAL KOREK PASIR DITAHAN DI PERAIRAN KERIAN

KUALA KURAU, 8 Mac – Bot Ronda Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah kapal korek pasir disyaki melakukan operasi mengorek pasir di lokasi atau kawasan yang tidak dibenarkan selain beroperasi di luar waktu yang dibenarkan pada 6 Mac (Rabu).

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot itu dikesan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia ketika rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

Ketika dikesan, kapal korek itu sedang melakukan kerja-kerja mengorek pasir di luar waktu yang ditetapkan. Hasil pemeriksaan lanjut, master yang merupakan warga Indonesia gagal kemukakan dokumen kebenaran melakukan aktiviti terbabit serta tiada insuran kapal. Jika disabit kesalahan kapal boleh dikenakan denda bermula RM100 ribu hingga RM500 ribu.

Tambahnya, kapal korek pasir itu mempunyai 21 orang kru yang terdiri daripada 15 warga China, lima warga Indonesia dan seorang warga tempatan.

Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kuala Kurau kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat dan aduan berkaitan jenayah dan kesalahan maritim, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 03 08 at 8.43.31 AM
 
WhatsApp Image 2024 03 08 at 8.43.32 AM

BOT NELAYAN DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN, KRU MEMILIKI DADAH

PELABUHAN KLANG, 6 Mac – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 pada jam 2.35 petang di perairan Sekinchan atas beberapa kesalahan pada Ahad lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot kelas B1 itu dikesan oleh Kapal Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin OP EHSAN, OP MURNI, OP SAYONG dan OP TIRIS 3.0 di kedudukan kira-kira 10.8 batu nautika barat Sekinchan.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia antara 30 hingga 38 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

Pemeriksaan lanjut menemukan tiga set peralatan menghisap dadah, tiga paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal berwarna putih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 3.0 gram, tiga botol ubat batuk dan satu plastik bag hitam mengandungi daun ketum anggaran tiga kilogram.

Turut didapati satu tangki simpanan bahan api yang telah diubah suai berisi anggaran 400 liter minyak diesel di bahagian hadapan dek bot.

Bot, tekong dan kru bersama bahan terlarang dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah disyaki syabu, Akta Racun 1952 dibawah kesalahan memiliki daun ketum dan ubat batuk, Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan warga asing dan memasang alat perhubungan elektronik di atas vessel menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Akta

Imigresen 1959/63 kerana tiga kru yang ditahan bekerja tanpa permit yang sah.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

NELAYAN KLANG   NELAYAN KLANG 2   NELAYAN KLANG 3

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON