25
Sat, Jul

LANGGAR SYARAT DAN KRU TIADA DOKUMEN PENGENALAN DIRI, BOT NELAYAN KELAS C DITAHAN

PELABUHAN KLANG, 22 Januari – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama empat nelayan warga asing telah ditahan Maritim Malaysia Negeri Selangor pada kedudukan kira-kira 9.8 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak Selangor pada sekitar jam 8.00 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot itu dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh KM DANGA yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.

Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Indonesia dalam lingkungan umur 37 hingga 52 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan kru tidak mempunyai dokuman pengenalan diri yang sah serta beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dari daratan serta menggaji warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua nelayan, bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 01 22 at 12.31.41 PM 1
 
WhatsApp Image 2024 01 22 at 12.31.40 PM

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 44 TONG DRAM MINYAK PETROL

KUDAT, 21 Januari – Sejumlah 44 tong dram berisi minyak petrol serta tiga Bot Pam dirampas Zon Maritim Kudat di kedudukan 0.3 dan 0.2 batu nautika selatan Tanjung Pegasan, Pitas, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat perisikan, bot ronda Maritim diatur gerak ke lokasi ketika sedang melakukan rondaan rutin dalam OP PLUTO TIMUR.

Setibanya ke lokasi, kelihatan tiga bot terapung tanpa pengendali dipercayai tekong atau kru bot telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia.

Kedua-dua bot berkenaan diperiksa dan pasukan operasi operasi mendapati, bot pertama membawa muatan sejumlah 12 tong dram berisi minyak petrol, 24 tong lagi ditemukan di bot kedua dan lapan tong di bot ketiga.

Kesemua bot berkenaan disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol dari perairan Pitas ke Pulau Mangsi, Filipina.

Bot serta kesemua barang rampasan dibawa ke jeti Marina, Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan hampir RM70 ribu. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2022.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

PETROL KUDAT

27 PATI DITAHAN DALAM CUBAAN MEMASUKI NEGARA MENGGUNAKAN JALAN LAUT

KOTA KINABALU, 21 Januari – Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 10.2 batu nautika Utara Tanjung Luk Pisuk, Tuaran pada sekitar jam 5.43 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, hasil daripada pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut, Sabah (SWASLA) telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan dari perairan Filipina memasuki ke perairan Kota Kinabalu.

Bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan rutin telah diatur gerak ke lokasi bot itu untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati nama juragan tiada dalam salinan lesen bot dan terdapat 12 penumpang di atas bot yang sama mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati seorang penumpang mengemukakan kad pengenalan Malaysia, seorang mengemukakan dokumen pas lawatan sosial, empat orang mengemukakan sijil lahir Malaysia dan selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri. Kesemua mereka berumur lingkungan 14 hingga 70 tahun.

Dalam tangkapan itu, salah seorang penumpang merupakan seorang lelaki cacat penglihatan berusia 52 tahun dan sebuah keluarga terdiri daripada bapa bersama seorang anak lelaki dan dua anak perempuan berumur lingkungan umur 14 hingga 23 tahun. Turut berada di atas bot ialah empat orang wanita warga emas berumur lingkungan 55 hingga 66 tahun.

Juragan, penumpang dan bot ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Bot dan kesemua yang ditahan diiring ke Jeti Maritim Negeri Sabah Sepanggar sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim.

 

PATI KK
 
PATI KK 2

CUBAAN SELUDUP PETROL GAGAL, SEORANG SUSPEK BERJAYA DITAHAN

SANDAKAN, 21 Januari – Dua awak-awak nekad terjun ke laut dalam usaha untuk meloloskan diri daripada ditahan ketika aksi kejar buru di antara Zon Maritim Sandakan dan bot pancung di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam operasi pada jam 8.30 malam telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanah Merah Sandakan.

Pasukan operasi Maritim Malaysia kemudiannya mengarahkan bot suspek berhenti dengan menggunakan pembesar suara dan membunyikan siren untuk pemeriksaan.

Namun bot terbabit tidak memberikan kerjasama lantas memecut laju menghala ke Perairan Tanjung Batu Sandakan dalam masa sama sempat membuang lapan unit tong disyaki berisi petrol dalam anggraan 200 liter ke laut.

Dua suspek yang berada di dalam bot itu dilihat bertindak nekad terjun ke laut dalam cubaan meloloskan diri namun salah seorang suspek lelaki berumur 41 tahun disyaki warga Filipina berjaya ditangkap manakala seorang lagi tidak dapat dikesan.

Bot yang menggunakan dua enjin sangkut 40 kuasa kuda setiap satu berjaya ditahan pada jam 9.15 malam di kedudukan 1.38 batu nautika tenggara Tanah Merah Sandakan.

Kesemua barang rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah, Akta Imigresen 1959/63 memiliki dan mengemukakan dokumen pengenalan diri meragukan serta Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

 

PETROL SANDAKAN
 
PETROL SANDAKAN 2

DUA BUAH BOT NELAYAN INDONESIA CEROBOH PERAIRAN MALAYSIA DITAHAN

PELABUHAN KLANG, 19 Januari – Dua bot nelayan Indonesia telah ditahan bersama 10 awak-awak termasuk dua tekong warga Indonesia oleh Maritim Negeri Selangor ketika mereka sedang leka mengaut hasil laut negara pada kedudukan sekitar 30 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, Tanjung Karang pada sekitar jam 3.45 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat daripada Area Control Centre (ACC) Klang pada jam 2.40 petang dan telah mengatur gerak KM BAGAN DATUK yang sedang melaksanakan OP EHSAN, OP MURNI, OP TIRIS 3.0 dan OP SAKAU ke lokasi itu.

Setiba di lokasi, pihak KM BAGAN DATUK berjaya mengesan sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Dalam perkembangan lain, di lokasi berhampiran sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran bersama seorang tekong dan empat orang awak-awak warga Indonesia turut berjaya ditahan.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot berkenaan, kesemua suspek berusia dalam lingkungan umur di antara 25 hingga 56 tahun didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

Dianggarkan lebih kurang 400 kilogram ikan campur berada di atas kedua-dua bot tersebut hasil daripada aktiviti penangkapan ikan yang menggunakan rawai.

Bot dan kesemua suspek kemudiannya ditahan dan diiring ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan di Perairan Malaysia secara haram serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi mengelakkan hasil laut dicuri oleh nelayan asing.

Orang ramai dimohon untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, insiden kecemasan dan aktiviti jenayah di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999.

 

WhatsApp Image 2024 01 19 at 4.30.32 PM   WhatsApp Image 2024 01 19 at 4.30.34 PM   WhatsApp Image 2024 01 19 at 4.38.07 PM   WhatsApp Image 2024 01 19 at 4.38.02 PM

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON