16
Jum, Okt

Grid List

DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN

MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL

BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN

REMAJA LELAKI DITEMUI LEMAS DI PANTAI SEPAT, OPERASI CARILAMAT DITAMATKAN

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000

LATIHAN PENEMBAKAN TINGKATKAN KECEKAPAN KRU KM PERINGGI DAN KM LIBARAN

LANGGAR SYARAT LESEN, DUA VESSEL PUKAT JERUT BILIS DITAHAN MARITIM MALAYSIA

LAHAD DATU, 27 DISEMBER – Zon Maritim Lahad Datu telah menahan dua vesel pukat jerut bilis secara berasingan di sekitar perairan Tabawak dan Kunak, semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, vesel pukat jerut bilis terbabit ditahan di kedudukan 0.2 batu nautika Kampung Pangi Hujung, Kunak lebih kurang pukul 2.00 petang, manakala sebuah lagi vesel jerut bilis ditahan di kedudukan 0.3 batu nautika utara Pulau Majinkil lebih kurang 4.30 petang oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam OP PLUTO TIMUR 2/2013.

Hasil pemeriksaan awal pasukan Maritim Malaysia mendapati, vesel pukat jerut bilis pertama dikendalikan dua warga tempatan berumur 34 tahun dan 18 tahun bersama hasil tangkapan seberat dua kilogram manakala bot kedua dikendalikan dua warga tempatan berumur 36 tahun dan 32 tahun bersama seorang warga Filipina berumur 42 tahun bersama hasil tangkapan ikan tuna seberat empat kilogram. Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kedua - dua vesel tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan terhampir.

Kesemua kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Nilai tangkapan bagi dua buah bot adalah lebih kurang RM 188 ribu.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

LANGGAR BILIS 2

RIADAH CUTI SEKOLAH SEKELUARGA BERAKHIR DENGAN TRAGEDI

PAPAR, 27 DISEMBER – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun disahkan lemas manakala seorang lelaki dewasa yang merupakan ahli keluarga kanak-kanak terbabit dilaporkan masih hilang dan dikhuatiri lemas di Pantai Bundusan, Papar, berhampiran Blue Cabin Beachfront, Papar lewat petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, mangsa yang lemas dikenali sebagai Reubern Vitalis (lapan tahun) manakala seorang lagi, Karl Marx Vitalis, 48 tahun masih belum dijumpai setakat ini. Mereka dipercayai datang untuk beriadah di pantai berkenaan bersama keluarga sempena cuti sekolah.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada pukul 6.30 petang semalam oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu dan disambung pada pagi ini.

Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) yang diketuai Bintara Kanan Maritim Kamaruzaman bin Mustapa bersama tiga lagi anggota turut ditubuhkan di lokasi kejadian bagi menyelaras operasi tersebut.

Antara aset yang terlibat dalam pencarian ini adalah Bot KILAT 39 daripada Maritim Malaysia, Bot RH 29 daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Bot CB 2001 bersama Bot CB 2005 daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Bot Fiber dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah diatur gerak bagi melakukan pencarian di lokasi merangkumi 31 batu nautika persegi dari kawasan mangsa disyaki hilang.

Che Engku Suhaimi dalam pada itu menasihati orang ramai untuk mengambil langkah berwaspada dan sentiasa menjaga keselamatan ketika beriadah di laut terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku. Beliau turut meminta orang ramai sentiasa peka dengan amaran perubahan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Terdahulu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada komuniti maritim yang terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam menangani isu ini. Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan di talian 088-270165 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

PAPAR SAR 4
 
PAPAR SAR 2
 
PAPAR SAR 3
 
PAPAR SAR 5

TIGA NELAYAN MANGSA BOT HANYUT DISERAH KEPADA INDONESIA

LUMUT, 26 DISEMBER – Maritim Negeri Perak telah menyerahkan tiga nelayan warga Indonesia kepada wakil konsulat negara itu selepas vesel yang dinaiki mereka rosak dan hanyut ke Perairan Malaysia pada Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penyerahan tiga nelayan iaitu Atan (37), M.Azmi (28) dan Saffardi Affendi (30) berasal dari Tanjung Balai, Indonesia dilakukan di hadapan wakil konsulat negara itu Encik Muiz Mediawan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak pada jam 3.00 petang, Selasa lalu.

Dalam kejadian berkenaan, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat daripada pengadu iaitu seorang nelayan tempatan yang menemukan vesel tersebut di Perairan Pulau Sembilan dan telah mengatur gerak aset bot ronda ke lokasi bagi memindahkan mangsa dari Vesel Nelayan Tempatan (VNT) untuk tindakan selanjutnya.

Tambah Shukri, urusan penghantaran pulang kesemua nelayan tersebut akan dilakukan oleh Indonesia melalui wakil konsulat serta pemilik bersetuju untuk vesel itu dilupuskan di negara ini atas kerosakan yang tidak boleh diperbaiki.

Penyerahan kesemua nelayan warga Indonesia ini bukti hubungan baikyang sedia terjalin di antara dua negara berjiran dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan kedua-dua negara terjamin.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau 999 untuk tindakan segera.

 

SERAH DUTA2
 
SERAH DUTA3

OP CARILAMAT HARI KEEMPAT, TAMBAHAN ASET DAN SEKTOR PENCARIAN DIPERLUAS

KUCHING, 26 DISEMBER – Radius sektor pencarian Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan mangsa terakhir Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dalam insiden di perairan Pulau Burong, Kuching Sarawak diperluaskan meliputi 1268.1 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan Barat Daya Pulau Burong.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Haji Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, Op CARILAMAT untuk hari keempat ini dimulakan pada pukul 7.00 pagi dengan mengatur gerak aset Maritim Malaysia Bot PENGAWAL 42, dibantu aset Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu PSC 34 dan PA 1, Helikopter AW139 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bot DESTINY milik Angkatan Pertahanan Awam (APM), SC SARI dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Bot Aluminium milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Bot SRB 11 milik Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS).

Ujarnya lagi, sebanyak tujuh agensi terlibat dalam operasi untuk hari ini dengan penambahan lapan aset dari Jabatan Perikanan menjadikan jumlah keseluruhan kekuatan para anggota di lokasi pencarian dan Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) adalah seramai 77 orang termasuk dua unit dron dari APM dan PGU, PDRM.

Untuk rekod, identiti mangsa terakhir dalam insiden ini yang masih belum ditemukan ialah Chaloem Sonada, 64 Tahun yang merupakan warga Thailand.

Op CARILAMAT ditangguhkan pada jam 6.00 petang dan akan bersambung semula esok untuk hari terakhir pencarian.

Cuaca di lokasi mendung serta kabus dengan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 1.0 hingga 1.5 meter.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching melalui talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

HARI KEEMPAT KCH
 
HARI KEEMPAT KCH2

OP CARILAMAT MASUK HARI KETIGA, PENEMUAN VESEL TENGGELAM BERI PETUNJUK BAHARU

KUCHING, 25 DISEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan mangsa terakhir Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang gagal dihubungi dipercayai karam di perairan Pulau Burong, Kuching Sarawak sejak 17 Disember lalu masuk hari ketiga.

Op CARILAMAT bermula pada pukul 7.00 pagi tadi dengan mengatur gerak aset Maritim Malaysia Bot PENGAWAL 42, dibantu aset Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu PSC 34 dan PA 1, Pesawat CESSNA CARAVAN milik Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bot DESTINY milik Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan SC SARI dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Haji Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, operasi hari ketiga telah menemukan sebuah bangkai vesel berwarna hijau yang tenggelam di kedudukan 3.9 Utara Tanjung Moyan oleh aset APM, dipercayai VNT terbabit berdasarkan aduan yang diterima pihak PDRM.

Untuk rekod, radius sektor pencarian dalam Op CARILAMAT hari ketiga ini diperluaskan meliputi 484.02 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Burong.

Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) ditubuhkan di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) dan mangsa terakhir masih lagi tidak ditemukan sehingga laporan ini dikeluarkan.

Op CARILAMAT ditangguhkan pada pukul 6.00 petang tadi dan akan bersambung semula esok.

Cuaca di lokasi mendung serta kabus dengan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 1.0 hingga 1.5 meter.

Selain PDRM, APM dan UKPS, agensi sahabat lain yang turut membantu dalam Op CARILAMAT ini adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuching serta Lembaga Sungai Sungai Sarawak.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, salurkan ke Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching melalui talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

HARI KETIGA SWK2
 
HARI KETIGA SWK3
 
HARI KETIGA SWK4

Lebih banyak artikel..

Grid List

MARITIM MALAYSIA PERKUKUH KESIAPSIAGAAN MASYARAKAT SEMPENA BKN 2026

LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menyertai Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang ancaman bencana dan kecemasan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula 10 dan 11 Oktober di Dewan Pameran, Ipoh Convention Centre (ICC), Ipoh, Perak Darul Ridzuan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan budaya kesiapsiagaan serta daya tahan masyarakat terhadap bencana.

Penyertaan Maritim Negeri Perak menerusi pameran agensi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti maritim.

Pameran tersebut turut mengetengahkan aspek penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan maritim, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengurusan kecemasan serta kesiapsiagaan menghadapi insiden di laut, selain memberikan pendedahan mengenai keupayaan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tindakan pantas ketika berhadapan situasi kecemasan.

Penglibatan Maritim Malaysia dalam program ini juga menjadi platform interaksi bersama masyarakat bagi meningkatkan kefahaman bahawa kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan hanya menjadi tanggungjawab agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kerjasama seluruh masyarakat.

Kerjasama berterusan bersama NADMA serta agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan tindakan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara bersepadu, pantas dan berkesan.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC