PASIR PUTEH, 21 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan telah menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) Vietnam bersama empat nelayan warganegara berkenaan pada 17 Oktober lepas.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, tangkapan telah dilakukan oleh sebuah kapal penguat kuasa Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan dalam OP DAMAI, OP NAGA BARAT dan OP TIRIS.
Beliau turut memaklumkan, bot tersebut pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot.
Namun, selepas 14 minit aksi kejar mengejar, akhirnya vesel terbabit dapat ditahan pada kedudukan lebih kurang 96 batu nautika Timur Laut Muara Tok Bali iaitu pada pukul 11.03 pagi hari kejadian.
Hasil pemeriksaan mendapati empat kru termasuk tekong berumur di antara 48 hingga 66 tahun berada di dalam bot tersebut dan kesemua mereka disyaki warga Vietnam.
Tangkapan itu melibatkan rampasan kira-kira 1,000 kilogram hasil laut iaitu dianggarkan sebanyak 500 kilogram ikan campur dan 500 kilogram ikan baja.
Selain hasil laut, bekalan diesel anggaran sebanyak 200 liter, peralatan navigasi dan komunikasi juga dirampas dengan anggaran keseluruhan rampasan melebihi RM1.5 juta.
Bot tersebut disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Sabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru.
Selain itu, kesemua kru turut akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Bagi kes berkenaan, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada enam kali mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.
Proses membawa balik bot tahanan tersebut telah mengambil masa lebih kurang 19 jam sebelum tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan kira-kira pukul 6.00 pagi Jumaat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070.





























.svg.png)

