15
Isn, Jun

Grid List

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR

LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING

MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING

10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA

ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH

MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN

15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS

MARITIM MALAYSIA DAN YFBM LAKSANA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN DI PULAU TUBA

PULAU TUBA, 14 DISEMBER – Sebanyak 300 pek makanan asas dan barangan kebersihan diri berjaya disalurkan kepada komuniti Pulau Tuba melalui Program Misi Bantuan Kemanusiaan anjuran Yayasan Foodbank Malaysia (YFBM) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Misi bantuan yang dilaksanakan semalam melibatkan kerjasama antara Maritim Negeri Kedah dan Perlis serta Maritim Negeri Pulau Pinang, dengan menggunakan aset Maritim Malaysia iaitu KM BURAU bagi mengangkut pek bantuan tersebut dari Jeti Limbungan Batu Maung ke Jeti Teluk Bujur, Pulau Tuba.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan YFBM adalah manifestasi kepada salah satu prinsip utama Teras Tujuh yang diperkenalkan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah iaitu Pengukuhan Jalinan Kerjasama.

“Kami sentiasa menyokong inisiatif badan bukan kerajaan seperti Yayasan Foodbank Malaysia yang gigih membantu komuniti maritim, terutama penduduk pulau, lebih-lebih lagi ketika musim Monsun Timur Laut yang mencabar,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan ketika monsun, dengan menasihatkan penduduk pulau agar mengelakkan melakukan aktiviti di laut kecuali untuk keperluan penting bagi mengurangkan risiko insiden tidak diingini berlaku ketika cuaca buruk.

Beliau berkata demikian seusai menyampaikan agihan bantuan kepada warga Pulau Tuba yang terkesan akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara.

Turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YFBM, Johan Khalid, bersama 22 sukarelawan dan kakitangan YFBM serta Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak.

Beliau terdahulu menegaskan, program ini menjadi bukti solidariti dan komitmen Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan dan kebajikan komuniti maritim, sejajar dengan misi menjaga perairan negara.

“Maritim Malaysia akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan komuniti maritim menerima bantuan sewajarnya, di samping meningkatkan kesedaran tentang keselamatan di laut.

Melalui program seperti ini juga, ia dapat mengeratkan hubungan Maritim Malaysia dengan masyarakat setempat khususnya komuniti maritim. Ini kerana secara tidak langsung pihak Maritim Malaysia akan menerima maklumat dan aduan untuk sebarang aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara ketika berinteraksi dengan mereka,” jelasnya.

Usaha yang dijalankan ini seiring dengan seruan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail sebelum ini, yang meminta agar semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya proaktif dalam membantu mangsa banjir serta memberikan sokongan kepada program-program kemanusiaan yang dilaksanakan untuk masyarakat.

 

TUBA YFBM
 
TUBA YFBM 3
 
TUBA YFBM 4
 
TUBA YFBM 6

TIDAK RASA BERSALAH, EMPAT KRU WARGA ASING DITAHAN TIADA DOKUMEN PENGENALAN DIRI

LUMUT, 13 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C bersama lima nelayan warga asing termasuk tekong di kedudukan 15 batu nautika tenggara Pulau Rumbia, Perak pada sekitar pukul 10.27 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel terbabit dikesan oleh pasukan operasi KM GAGAH yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Mahathir bin Ismail ketika kapal maritim sedang melakukan rondaan di lokasi terbabit.

Hasil pemeriksaan ke atas VNT mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 18 hingga 52 tahun.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati, vesel terbabit menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah kecuali tekong telah mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Kesemua kru yang ditahan tidak menunjukkan rasa bersalah kerana melakukan kerja berkenaan tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah bersama-sama mereka.

Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat MaritimMalaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti yang ditetapkan.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian05 - 6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

LUMUT VNT 2
 
LUMUT VNT 3
 
LUMUT VNT 4

KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA MENERIMA PANGKAT LAKSAMANA MARITIM

PUTRAJAYA, 12 DISEMBER – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, secara rasmi telah menerima pemakaian pangkat Laksamana Maritim berkuatkuasa hari ini.

Upacara pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, dalam satu majlis ringkas di pejabat beliau di Kementerian Dalam Negeri.

Dalam satu kenyataan media rasmi yang dikeluarkan oleh Maritim Malaysia, Datuk Haji Mohd Rosli memaklumkan, pemakaian pangkat beliau pada hari ini mencerminkan pengiktirafan tertinggi KDN kepada beliau di sepanjang kerjayanya dalam Perkhidmatan Awam dan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah agensi ini dengan membawa reformasi kepada perkhidmatan dan pengoperasian Maritim Malaysia.

“Teras Tujuh yang saya perkenalkan selepas dilantik memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia diharap akan memperkasakan Maritim Malaysia dan terus cemerlang seiring visi Maritim Malaysia untuk menjadi agensi penguatkuasaan maritim terbaik di dunia menjelang 2040.”

Penganugerahan pangkat ini adalah amanah besar yang akan saya pegang dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan Maritim Malaysia. Saya bertekad untuk terus memperkukuhkan keupayaan operasi Maritim Malaysia dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara, sekaligus membina kepercayaan rakyat terhadap agensi ini,” kata beliau.

Pada kenyataan media yang sama, beliau juga menyatakan komitmen untuk terus menjalankan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks di perairan negara.

Datuk Haji Mohd Rosli merupakan Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh selepas dilantik pada 17 September lalu. Beliau sebelum ini merupakan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia.

 

LAKSAMANA LI
 
LAKSAMANA LI 2
 
LAKSAMANA LI 3

KM TATAU LANCAR MEDEVAC BANTU MANGSA MENGALAMI LUKA PARAH

ROMPIN, 13 DISEMBER – Seorang pesakit lelaki yang mengalami luka parah di bahagian kaki sehingga menampakkan tulang dan tendon serta mengakibatkan pendarahan yang serius akibat tertusuk kaca memerlukan rawatan segera di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman telah dibawa ke Hospital Rompin, Pahang dengan bantuan aset laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang, pada petang semalam.

Misi bantuan Medical Evacuation (MEDEVAC) telah dilaksanakan aset ronda Pos Maritim Teluk Gading, Rompin iaitu KM TATAU setelah menerima panggilan daripada doktor Klinik Kesihatan Tekek sekitar pukul 11.15 pagi.

Pesakit, Mohamad Aizrul Naim bin Musa, 20 tahun mengalami luka besar dan pendarahan serius perlu mendapatkan rawatan segera di Hospital Rompin.

Pesakit yang turut diiringi oleh staf kesihatan tiba di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada pukul 5.54 petang, seterusnya dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Rompin.

 

MEDEVAC TATAU 3
 
MEDEVAC TATAU 2

MARITIM KELANTAN PRIHATIN BANTU WARGA TERJEJAS BANJIR

TUMPAT, 8 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan sekali lagi menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebajikan anggotanya apabila segera menghulurkan bantuan kepada keluarga warga kerja yang terjejas akibat banjir besar di negeri ini.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, melalui Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim Malaysia (KESMAR), pasukan Maritim Negeri Kelantan telah menggerakkan bantuan, termasuk tenaga kerja, sumbangan barangan keperluan asas, serta sokongan kewangan kepada lapan keluarga anggota Pos Maritim Pengkalan Kubor yang terjejas. Kesemua mereka menetap di kawasan sekitar Pengkalan Kubor dan Pasir Mas yang merupakan antara lokasi teruk dilanda banjir.

Tambah beliau, bantuan tersebut turut melibatkan sumbangan dari syarikat Glide Technology Sdn Bhd yang bersama-sama menzahirkan keperihatinan kepada kebajikan mangsa banjir yang kini berhadapan dengan cabaran bencana alam.

“Bantuan tenaga kerja dan kewangan yang diberikan ini mencerminkan kesungguhan Maritim Malaysia untuk sentiasa cakna terhadap keperluan anggota di bawah Agensi ini. Ini bukan sahaja soal tanggungjawab, tetapi juga semangat kekeluargaan yang kami semai dalam organisasi,”

“Sokongan kepada warga kerja adalah tanggungjawab yang dititikberatkan Maritim Negeri Kelantan dalam mendepani ujian ini,” katanya lagi.

Langkah proaktif ini jelas memperlihatkan bahawa Maritim Malaysia bukan sahaja berfungsi sebagai pasukan keselamatan perairan negara, tetapi juga sebagai organisasi yang menghargai nilai kemanusiaan dalam kalangan warganya.

 

BANTU BANJIR 2
 
BANTU BANJIR 4
 
BANTU BANJIR 5

Lebih banyak artikel..

Grid List

"TIADA KOMPROMI TERHADAP ANCAMAN DI PERAIRAN NEGARA," - MDN TEGAS KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 11 JUN – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara, khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itulah Kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut beliau, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim sebagai antara keutamaan utama negara.

“Perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara. Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.

Saifuddin berkata, Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada 21 April 2026 dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.

Selain itu, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat buah helikopter Agusta Westland AW189 pada tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai 2026, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di seluruh Zon Maritim Malaysia.

Dalam menghadapi cabaran Krisis Tenaga Global 2026, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Melalui pelaksanaan Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama PDRM-PPM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia yang bermula pada 16 Mac lalu, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun 2026.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.

Justeru, katanya, Maritim Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, “pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi”.

Pada tahun 2025, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima APC berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya. Majlis tersebut turut dihadiri pengurusan tertinggi KDN dan Maritim Malaysia serta warga Maritim Malaysia.




hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC