03
Jum, Jul

Grid List

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL PHEONIX JAMNAGAR

LAPAN MANGSA SELAMAT DALAM INSIDEN BOT LAJU TERBALIK DI PANTAI TELUK PASIR, SANTUBONG

MARITIM MALAYSIA LAKSANA MEDEVAC KRU KAPAL CX GEMMA DI PERAIRAN KUCHING

MARITIM MALAYSIA DAN AGENSI DAERAH MERSING LAKSANA OP BERSEPADU PANTAU AKTIVITI ISLAND HOPPING

10 PATI WARGA INDIA DAN BANGLADESH DITAHAN KETIKA CUBA MEMASUKI PERAIRAN NEGARA

ZON MARITIM KUALA KEDAH PERKASA PENGUATKUASAAN OP TIRIS 4.0 MELALUI OPS BERSEPADU DI PERAIRAN NEGERI KEDAH

MARITIM NEGERI PERAK PERKETAT PENGUATKUASAAN - DUA VESEL PUKAT TUNDA HARAM DITUMPASKAN

15 PATI DITAHAN; SENJATA API TURUT DIRAMPAS

CARILAMAT NELAYAN HILANG DI BETING YU HARI KETIGA, SATU JASAD DITEMUKAN

KABONG, 6 SEPTEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar menangkap ikan di Perairan Beting Yu memasuki hari ketiga hari ini.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos anak Juing berkata, sekitar pukul 10.00 pagi tadi sebuah bot nelayan yang turut serta dalam pencarian menemui satu jasad disyaki mangsa di lokasi kira-kira 3.7 batu nautika barat Tanjung Kembang.

“Jasad tersebut dibawa ke Jeti Kabong oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses pengecaman di Klinik Kesihatan Kabong,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, pengecaman awal oleh ahli keluarga tidak dapat mengesahkan identiti mangsa berkenaan. Jasad itu kemudian dihantar ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, operasi pencarian diteruskan melibatkan aset Maritim Malaysia, PDRM, JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta bantuan nelayan tempatan.

 

CARILAMAT KABONG2
 
CARILAMAT KABONG4
 
CARILAMAT KABONG5
 
CARILAMAT KABONG6

EXUSCG CUTTER STEADFAST LULUS LATIHAN FASA LAUT

BALTIMORE, 5 SEPTEMBER – Kru Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ditempatkan di kapal Ex United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast berjaya menamatkan siri latihan fasa laut (Sea Training) kendalian USCG di perairan Chesapeake Bay, sekali gus membuktikan kesiapsiagaan mereka dalam mengendalikan aset baharu negara.

Pegawai Memerintah Ex-USCG Cutter Steadfast, Komander Maritim Mohd Fahimi bin Omar memaklumkan, latihan berkenaan telah bermula pada 21 Ogos lalu dengan pelayaran pertama yang dikendalikan staf Cutter Transition Division (CTD) dan Surface Acquisitions Logistic Center (SALC) USCG.

Fokus utama latihan ini jelas beliau, adalah bagi memberikan pendedahan pengendalian kejuruteraan dan peralatan kapal. Dalam latihan berkenaan, kru dibahagikan kepada tiga seksyen iaitu kejuruteraan, penguatkuasaan dan operasi serta pentadbiran dan bekalan dengan bimbingan secara langsung daripada anggota USCG berpengalaman.

Antara modul yang dilaksanakan termasuk tatacara pemindahan janakuasa, menghidupkan jentera utama, serta penggunaan peralatan navigasi di anjungan. Semasa pelayaran, kru turut dilatih keluar masuk pelabuhan, penggunaan sistem navigasi seperti radar dan ECDIS, selain latihan bersauh.

Pelayaran kedua telah dilaksanakan pada 25 Ogos menyaksikan kru diberi peluang mengendalikan sendiri peralatan kapal, manakala USCG bertindak sebagai pemerhati dan penasihat.

Kemuncaknya adalah pada 28 Ogos, iaitu pelayaran terakhir yang menjadi ujian penilaian penuh sebelum kru ditauliahkan. Latihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden, malah kesemua seksyen lulus dengan cemerlang.

Wakil USCG menyatakan kepuasan hati terhadap prestasi kru Maritim Malaysia yang dianggap mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Semua kru akan menerima sijil tamat latihan semasa Majlis Penyerahan Kapal Ex USCG Cutter Steadfast yang dijadualkan berlangsung pada 5 September 2025 di Waterfront Operations Training Center (WOTC), Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat.

Kejayaan ini sekali gus menandakan kapal berkenaan bersedia untuk digerakkan sebagai aset maritim baharu negara.

 

KM BENDAHARA3
 
KM BENDAHARA5
 
KM BENDAHARA6

PEMPENGARUH MEDIA SOSIAL LANGGAR UNDANG-UNDANG PERKAPALAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUALA TERENGGANU, 4 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Terengganu telah menahan dua buah bot bersama sebuah platform yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) dalam satu operasi penguatkuasaan Operasi Iman, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan bersama sebuah platform yang ditunda pada jarak lebih kurang 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong sekitar jam 6 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung bersama sebuah kereta diatasnya, manakala sebuah lagi bot yang mengiringi aktiviti penundaan tersebut didapati beroperasi tanpa mempunyai lesen sah oleh Jabatan Laut,” katanya.

Beliau menjelaskan lagi, platform tersebut dibina tanpa peralatan keselamatan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan apabila dijadikan lokasi penggambaran oleh seorang pempengaruh media sosial bersama kenderaan yang diletakkan di atas platform terapung berkenaan. Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan nyawa kru, penumpang serta pengguna perairan lain.

Menurut beliau, kedua-dua bot terbabit didapati membawa seorang pempengaruh media sosial bersama kru dan penumpang masing-masing. Kesemua yang ditahan terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang, kesemuanya warga tempatan.

“Kesemua bot, kru serta penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2.00 pagi hari ini untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen yang sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran,” jelasnya lagi.

Kepten Maritim Hamiludin menegaskan, Maritim Malaysia sentiasa serius dalam memastikan keselamatan perairan negara khususnya di Terengganu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.

“Maritim Malaysia menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia mestilah dilakukan mengikut peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara,” tambah beliau.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu supaya segera menyalurkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.

 

INFLUENCER LANGGAR2
 
INFLUENCER LANGGAR3
 
INFLUENCER LANGGAR4

 

 

BOT PANCUNG MIGRAN DITAHAN, DUA WARGA ASING CUBA BOLOS MASUK MALAYSIA

PELABUHAN KLANG, 5 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menahan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran bersama dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai cuba menyusul masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi semalam di kedudukan 0.04 batu nautika barat daya Morib.

Menurut beliau, operasi berkenaan dilaksanakan melalui OP KHAS JALUR BELAKANG hasil maklumatrisikan dan bantuan daripada Area Control Centre (ACC) Klang.

“Kira-kira pukul 12.00 tengah malam, ACC mengesan sebuah bot mencurigakan. BOT ronda MaritimMalaysia diatur gerak ke lokasi dan mengarahkan bot itu berhenti, namun tidak diendahkan. Bot terbabit terus memecut dan berlaku aksi kejar-mengejar hampir 30 minit,” katanya.

Bot berkenaan akhirnya terkandas di kawasan paya bakau Morib sebelum pemeriksaan dijalankan. Tiada kru ditemukan di atas bot, namun hasil pencarian di kawasan sekitar pasukan operasi berjaya menemukan dua lelaki warga Indonesia berusia 22 dan 33 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kedua-duanya dipercayai cuba masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” jelasnya.

Bot dan kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelumdiserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menasihati orang ramai agar menyalurkan maklumat atau aduan berkaitanjenayah serta kecemasan di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera

 

BOLOS MALAYSIA
 
BOLOS MALAYSIA3

SAREX LEVEL 3 JULUNG KALI DI TANJUNG MANIS

TANJUNG MANIS, 31 OGOS – 21 buah agensi terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sarawak Coastguard (SC) terlibat dalam simulasi Search and Rescue Exercise (SAREX) level 3 yang julungkalinya diadakan di perairan Muara Rejang pada 26 sehingga 28 Ogos 2025 lalu.

Latihan yang dikoordinasikan ini melibatkan seramai 190 orang pegawai dan anggota dari pelbagai agensi kerajaan seperti yang terkandung dalam arahan NADMA no. 1.

Latihan ini dilaksanakan seiring panduan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan serta International Aeronautical and Maritime Search and Rescue (IAMSAR) Malaysia jilid IV.

Latihan ini diadakan bagi menguji dan meningkatkan kemahiran serta kerjasama diantara agensi-agensi yang terlibat dalam operasi carilamat dan turut melibatkan simulasi situasi bencana sebenar bagi meningkatkan kecekapan dan daya tindak dalam menghadapi kemungkinan kejadian seumpamanya.

Kejayaan latihan ini akan menjadi tonggak bagi peningkatan kesediaan dan ketangkasan agensi-agensi yang terlibat dalam carilamat untuk menghadapi cabaran dan tugas yang kompleks ketika bencana maritim berlaku di kawasan perairan negara.

Insiden bagi simulasi SAREX level 3 kali ini menjadikan senario bot nelayan karam akibat kebocoran di bilik enjin, lalu mengakibatkan 5 orang mangsa jatuh laut dan mengalami pelbagai kecederaan.

Melalui simulasi ini, agensi yang terlibat akan memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tindakan sewajarnya ketika bencana berlaku.

Simulasi ini turut disaksikan oleh pemerhati dari luar yang terdiri daripada pegawai agensi keselamatan dan penguatkuasa serta pihak swasta yang berkaitan dan dapatan daripada simulasi berkenaan dibentangkan pada hari akhir SAREX bagi tujuan penambahbaikan.

 

SAREX TG MANIS
 
SAREX TG MANIS3
 
SAREX TG MANIS4

 

 

Lebih banyak artikel..

Grid List

"TIADA KOMPROMI TERHADAP ANCAMAN DI PERAIRAN NEGARA," - MDN TEGAS KOMITMEN KERAJAAN MADANI PERKUKUH MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 11 JUN – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang menggugat keselamatan, kedaulatan dan martabat negara, khususnya melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta pencerobohan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selagi ancaman terhadap perairan negara wujud, selagi itulah Kerajaan akan memastikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memiliki kuasa, kapasiti dan sokongan yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan secara berkesan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menurut beliau, keluasan Zon Maritim Malaysia yang meliputi lebih 556,000 kilometer persegi merangkumi laluan strategik seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi menjadikan keselamatan maritim sebagai antara keutamaan utama negara.

“Perairan negara bukan sekadar laluan air, malah merupakan nadi geopolitik, ekonomi dan keselamatan negara. Justeru, Maritim Malaysia memainkan peranan sebagai benteng hadapan negara dalam memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan bebas daripada ancaman jenayah maritim,” katanya.

Saifuddin berkata, Kerajaan turut komited memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia menerusi pelaksanaan beberapa perolehan aset strategik bagi memastikan agensi itu sentiasa bersedia mendepani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Menurut beliau, Maritim Malaysia dijangka menerima Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama pada pertengahan tahun 2027, manakala kontrak perolehan MPMS kedua yang dimeterai pada 21 April 2026 dijangka siap dalam tempoh 24 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2028.

Selain itu, Maritim Malaysia juga bakal menerima empat buah helikopter Agusta Westland AW189 pada tahun ini dengan pesawat pertama dijangka tiba pada Julai 2026, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan, rondaan maritim serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di seluruh Zon Maritim Malaysia.

Dalam menghadapi cabaran Krisis Tenaga Global 2026, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan bekalan bersubsidi yang boleh menjejaskan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Melalui pelaksanaan Op TIRIS 4.0 Segmen Laut yang dilaksanakan secara bersepadu bersama PDRM-PPM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia yang bermula pada 16 Mac lalu, Maritim Malaysia telah berjaya merekodkan 30 kes dengan nilai rampasan melebihi RM5.74 juta sehingga 1 Jun 2026.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan diesel, petrol dan barangan bersubsidi tidak diseleweng ke luar negara atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga mencerminkan sokongan padu Maritim Malaysia terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam memerangi ketirisan serta menjamin kemakmuran negara” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada laluan strategik antarabangsa seperti Selat Hormuz telah meningkatkan kepentingan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan dan perkapalan paling penting di dunia.

Justeru, katanya, Maritim Malaysia memikul tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan Selat Melaka dan perairan negara kekal selamat, teratur serta bebas daripada ancaman jenayah maritim demi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi negara dan serantau.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 254 warga Maritim Malaysia dari seluruh Semenanjung Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, “pengiktirafan tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pencapaian individu, malah mencerminkan budaya kerja berprestasi tinggi yang terus menjadi tunjang kecemerlangan organisasi”.

Pada tahun 2025, seramai 390 warga Maritim Malaysia di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima APC berbanding 372 orang pada tahun sebelumnya. Majlis tersebut turut dihadiri pengurusan tertinggi KDN dan Maritim Malaysia serta warga Maritim Malaysia.

 
 
 

 

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC