LUMUT, 6 April – Aktiviti menyediakan Bubur Lambuk secara bergotong-royong adalah sinonim diadakan setiap tahun ketika menyambut bulan Ramadan.
Justeru, Maritim Negeri Perak turut mengambil keberkatan Ramadan dengan melaksanakan program tersebut pada 6 April lalu bersamaan 15 Ramadan 1444 hijrah melalui Kelab Kebajikan Sukan Maritim (KESMAR).
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya'akup berkata, program seumpama ini bertujuan bagi melaksanakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Agensi terhadap masyarakat terutamanya komuniti maritim setempat.
Selain itu, program ini dilihat mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara aggota APMM serta memupuk amalan bersedekah pada bulan Ramadan.
Antara aktiviti yang dilakukan ialah menyediakan Bubur Lambuk secara bergotong-royong yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan disusuli dengan pengagihan kepada wakil agensi sahabat dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).