02
Sat, May

OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT REMAJA HILANG DI TANJUNG SEMAWANG DITAMATKAN

SANDAKAN, 19 FEBRUARI – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang remaja lelaki yang hilang di perairan Tanjung Semawang sejak Sabtu lalu dihentikan setelah memasuki hari keempat  selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, operasi pencarian ini melibatkan empat buah vesel dan satu unit dron daripada pelbagai agensi sahabat, dengan bantuan beberapa buah bot penduduk kampung.

“Sepanjang operasi ini, kawasan pencarian telah diperluas sehingga 72 batu nautika persegi. Namun, faktor perairan yang semakin luas serta beberapa kawasan cetek menyukarkan lagi misi pencarian,” jelasnya.

Menurut beliau, operasi rasmi CARILAMAT telah ditamatkan pada pukul 6.30 petang semalam, namun pemantauan tetap diteruskan menerusi rondaan aset Maritim Malaysia serta agensi sahabat yang bertugas di kawasan perairan berdekatan.

Terdahulu, Muhammad Nor Aiman Arif, 14 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar menangkap udang di laut bersama beberapa rakannya sekitar pukul 5.30 pagi, Sabtu lalu.

Kehilangan mangsa disedari apabila beliau tidak pulang ke rumah seperti biasa, menyebabkan keluarga dan penduduk kampung segera melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Berikutan insiden itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu, yang mewakili Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik, menzahirkan penghargaan kepada semua agensi sahabat serta komuniti maritim yang telah memberikan kerjasama sepanjang operasi berlangsung.

Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat atau petunjuk berkaitan kehilangan remaja tersebut ke Bilik Operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau menghubungi talian kecemasan 999.

Maritim Malaysia turut menasihatkan komuniti maritim agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan dan memaklumkan lokasi perjalanan kepada ahli keluarga amat penting bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.

 

CARILAMAT SANDAKAN2

 

 

 

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL PUKAT JERUT DI LUAR KAWASAN DIBENARKAN

LUMUT, 19 FEBRUARI – Maritim Negeri Perak menahan sebuah vesel pukat jerut bilis kerana dipercayai melanggar syarat sah lesen di kedudukan sekitar 0.3 batu nautika barat Telok Belanga kira-kira pada jam 3.11 petang, isnin lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan itu dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar sektor operasi bagi mencegah perlakuan jenayah maritim di perairan negara.

Tangkapan berkenaan dibuat dengan membabitkan seorang tekong warga tempatan dan 12 kru membabitkan dua warga tempatan dan sepuluh warga Indonesia berumur dalam lingkungan 24 hingga 69 tahun.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dari satu batu nautika dari pantai.

Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan ikan bilis dengan anggaran 30 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak melalui talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

PERAK PUKAT JRUT2
 
PERAK PUKAT JRUT3

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, BOT PENUMPANG DITAHAN

PELABUHAN KLANG, 18 FEBRUARI – Sebuah bot penumpang ditahan Maritim Negeri Selangor di kedudukan kira- kira 0.2 batu nautika utara Pulau Indah pada sekitar jam 5.51 petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot itu ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Barat oleh bot rondaMaritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.

Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati, terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun bertindak selaku nakhoda bot berkenaan.

Pemeriksaan dokumentasi mendapati, bot itu telah melanggar syarat sah lesen, bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu nama nakhoda tiada dalam lesen bot.

Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2025 02 18 at 9.13.06 AM
 
WhatsApp Image 2025 02 18 at 9.13.37 AM
 
WhatsApp Image 2025 02 18 at 9.21.07 AM

ZON MARITIM KUALA KEDAH RAMPAS 350 SET BUBU NAGA DALAM TEMPOH 36 JAM

KUALA KEDAH, 17 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya merampas 350 set bubu naga atau bubu kambang dalam operasi khas rampasan yang dijalankan dalam tempoh 36 jam bermula Jumaat lepas.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi ini merupakan hasil pemantauan yang dilaksanakan di beberapa lokasi di sepanjang perairan Kuala Kangkong hingga ke Kuala Kedah.

Mengulas lanjut penemuaan bubu naga tersebut, Azreyanti berkata anggota bot ronda Maritim Malaysia menemui pelbagai taktik penyamaran yang digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut.

Antara Teknik yang digunakan adalah dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu, meletakkan pelampung penanda seperti botol, pancang kayu, gabus putih, peralatan seperti GPS pada setiap bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang itu.

Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM53 ribu itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasanp di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

 

BUBU KEDAH
 
BUBU KEDAH2
 
BUBU KEDAH3

REMAJA DIKHUATIRI LEMAS KETIKA MENANGKAP UDANG

SANDAKAN, 16 FEBRUARI – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, Muhammad Nor Aiman Arif, dikhuatiri lemas ketika menangkap udang di perairan Tanjung Semawang, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, mangsa dilaporkan keluar ke laut bersama beberapa rakannya pada pukul 5.30 pagi namun tidak pulang ke rumah sehingga tengah hari, menyebabkan ahli keluarga bimbang dan segera melakukan pencarian.

Jelas Suhairy, pihaknya menerima laporan daripada bapa kandung mangsa pada pukul 5.54 petang selepas keluarga mangsa hanya menemukan vesel serta topi mangsa yang terapung di perairan berkenaan kira-kira 2.3 batu nautika timur laut Tanjung Semawang.

Hasil laporan tersebut, Zon Maritim Sandakan telah menyalurkan maklumat tersebut kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,

“Bot Banggi 43 telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesahkan maklumat dan menjalankan pencarian awal sebelum operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 6.30 petang,” katanya lagi.

Operasi CARILAMAT hari kedua diteruskan pada pukul 7.00 pagi tadi dengan membabitkan pelbagai aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Selain itu, penduduk setempat turut membantu pencarian dengan menggunakan bot persendirian.

Sehingga kini, operasi pencarian telah meliputi kawasan seluas 19 batu nautika persegi, namun mangsa masih belum ditemukan. Operasi dihentikan sementara pada pukul 6.30 petang dan akan disambung semula pada pukul 7.00 pagi esok.

Maritim Malaysia mengingatkan komuniti nelayan dan penduduk setempat agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut. Penggunaan jaket keselamatan dan pemantauan cuaca sebelum turun ke laut amat digalakkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Sebarang insiden di laut, orang ramai boleh melaporkan segera ke Bilik Operasi 24 Jam, Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau menerusi talian kecemasan 999.

 

SANDAKAN LEMAS 2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON