PELABUHAN KLANG, 18 FEBRUARI – Sebuah bot penumpang ditahan Maritim Negeri Selangor di kedudukan kira- kira 0.2 batu nautika utara Pulau Indah pada sekitar jam 5.51 petang semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot itu ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke Pelabuhan Barat oleh bot rondaMaritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin operasi di perairan Selangor.
Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati, terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun bertindak selaku nakhoda bot berkenaan.
Pemeriksaan dokumentasi mendapati, bot itu telah melanggar syarat sah lesen, bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu nama nakhoda tiada dalam lesen bot.
Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.












