26
Sun, Apr

BOT PUKAT RAWA SORONG DITAHAN, BEROPERASI TANPA LESEN YANG SAH

KUALA KURAU, 3 Julai – Sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 5.9 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar pada sekitar jam 11.50 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot itu ditahan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang sebelum dirapat untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan, terdapat dua nelayan tempatan termasuk tekong masing-masing berumur 29 dan 57 tahun berada di atas bot.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati bot itu tidak memiliki lesen yang sah.

Selain itu, peralatan menangkap ikan jenis pukat rawa sorong turut ditemukan dan disyaki digunakan sebagai peralatan menangkap ikan.

Kesemua nelayan ditahan manakala bot dan alat perikanan dirampas sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu mengendalikan vesel tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (b) akta yang sama kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, insiden dan kecemasan yang berlaku, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 08 03 at 10.37.17

 

CARILAMAT | BOT TERBALIK : LIMA MANGSA SELAMAT SEORANG KANAK-KANAK DIKHUATIRI LEMAS

SANDAKAN, 1 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki beliau bersama lima lagi penumpang karam di 0.2 batu nautika Tanjung Batu, Sandakan petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada jam 4.00 petang bagi mengesan kanak-kanak malang berkenaan di samping itu Pangkalan Hadapan CARILAMAT diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian tersebut.

Mangsa Romy bin Azlan, 7 tahun berbangsa Suluk dimaklumkan bersama keluarga menaiki bot terbabit dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju Ke Kampung Mumiang dengan membawa enam orang penumpang termasuk dua orang kanak-kanak.

Bot tersebut kemudiannya dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia telah hilang kawalan lalu terbalik.

Kepten Maritim Zainudin turut memaklumkan, BOT PERONDA BANGGI 14 dan BOT KILAT 8 dari Zon Maritim Sandakan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.

Turut membantu pencarian Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta berhubung secara terus kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Sandakan ditalian 089-229504 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 yang beroperasi 24 jam.

 

CARILAMAT SANDAKAN

LANGGAR SYARAT SAH LESEN, ENAM KRU ASING DITAHAN

LANGKAWI, 30 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika dari Barat Laut Pulau Singa Besar lebih kurang pukul 12 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, bot nelayan itu dikesan sedang berlabuh di perairan pulau tersebut.

Melalui pemeriksaan yang dilakukan, bot nelayan tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama lima kru.

Tiga daripadanya adalah warga Thailand dan tiga lagi merupakan warga Kemboja yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 29 hingga 55 tahun.

Hasil tangkapan bot nelayan itu dianggarkan sebanyak 500 kilogram ikan campur.

Bot dan kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu nama nakhoda tiada tercatat dalam buku lesen dan semua kru tidak memiliki pas lawatan kerja sementara.

Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pelanggaran undang-undang termasuk aktiviti perikanan tanpa permit, pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia dan salah laku yang lain.

Komuniti maritim setempat juga perlu bekerjasama memantau perkara ini dan melaporkan kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk maklum balas segera, demi memastikan perairan negeri sentiasa aman dan selamat.

 

LANGGAR SYARAT LESEN 
 
LANGGAR SYARAT LESEN 3
 
 LANGGAR SYARAT LESEN 4

WARGA INDONESIA DICEKUP BERSAMA BEG BERISI DADAH

KUALA LINGGI, 31 Julai – Seorang lelaki warga Indonesia telah berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Melaka dan Negeri Sembilan kerana cubaan menyeludup keluar lebih kurang 10 kilogram dadah dipercayai jenis syabu dengan anggaran nilai RM400 ribu ke negara jiran awal pagi Jumaat lalu.

Hasil daripada maklumat risikan mengenai kehadiran sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Keling lebih kurang pukul 1.00 pagi 28 Julai, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan OP MURNI atau OP TIRIS telah bergegas ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan penguatkuasaan.

Setiba di lokasi, bot suspek dikesan berada di pesisir Pantai Kundur, Tanjung Keling. Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, suspek telah memecut laju melarikandiri dari pantai tersebut dan meninggalkan seorang lelaki disyaki rakan suspek.

Hasil pemeriksaan ke atas lelaki tersebut merupakan warganegara Indonesia berusia 38tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Turut ditemui bersama suspek ialah sebuah beg pakaian berwarna merah dan hitam mengandungi tujuh bungkusan teh cina berwarna merah jenama Jin Xuan Tea, dan tiga bungkusan berwarna putih dan kesemuanya berisi ketulan mampat dadah disyaki jenis syabu.

Suspek seterusnya ditahan dan kesemua barang turut dirampas dikedudukan lebihkurang0.1 batu nautika barat daya Pantai Kundur lebih kurang pukul 2.30 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen5(2) AktaImigresen 1963.

 

DADAH INDO 2 
 
DADAH INDO 3

SAREX TIER 3 | 33 AGENSI TERLIBAT SIMULASI LATIHAN BENCANA MARITIM

KLANG, 26 Julai – Sebanyak 33 buah agensi antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Balai Bomba dan Penyelamat (BOMBA) dan Northport terlibat dalam simulasi Search and Rescue Exercise (SAREX) Tier 3 yang dijalankan di kawasan perairan Pelabuhan Klang bermula 25 hingga 27 Julai 2023.

SAR Coordinator MRSC Johor Bahru, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, latihan yang dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia ini telah melibatkan seramai 200 orang pegawai dan anggota dari pelbagai agensi kerajaan sebagaimana yang terkandung dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20 Bencana Maritim.

Beliau turut berkata, latihan ini dilaksanakan seiring panduan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan serta International Aeronautical and Maritime Searchand Rescue (IAMSAR) Malaysia Jilid IV.

Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata demikian selepas menyaksikan simulasi SAREX Tier 3 di kawasan 0.6 Batu Nautika Barat Laut Tanjung Harapan hari ini.

Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria menambah, latihan ini bertujuan untuk menguji dan meningkatkan kemahiran serta kerjasama di antara agensi-agensi terlibat dalam operasi CARILAMAT, dan turut melibatkan simulasi situasi bencana sebenar bagi meningkatkan kecekapan dan daya tindakan dalam menghadapi kemungkinan kejadian seumpama ini.

Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan SAREX Tier 3.

Kejayaan latihan ini akan menjadi tonggak bagi peningkatan kesediaan danketangkasan agensi-agensi yang terlibat dalam CARILAMAT dalam menghadapicabaran dan tugas yang kompleks ketika bencana maritim berlaku di kawasan perairan negara.

Simulasi SAREX Tier 3 pada kali ini menjadikan senario sebuah feri yang membawa 30 penumpang dan lima orang kru mengalami kebakaran di bilik jentera di perairan Tanjung Harapan.

Dalam senario tersebut, terdapat penumpang telah terjun daripada feri danberenang menuju sebuah rakit keselamatan di perairan Tanjung Harapan.

Melalui insiden berkenaan, agensi yang terlibat dalam simulasi terbabit akan memainkan peranan masing-masing dengan mengambil tindakan sewajarnya ketika bencana berlaku.

Simulasi berkenaan turut disaksikan oleh pemerhati dari luar yang terdiri daripada pegawai agensi keselamatan dan penguat kuasa serta pihak swasta yang berkaitan dan dapatan daripada simulasi berkenaan akan dibentangkan pada hari terakhir SAREX bagi tujuan penambahbaikan.

 

SAREX MN SELANGOR
 
SAREX MN SELANGOR 3
 
SAREX MN SELANGOR 4
 
 SAREX MN SELANGOR 10

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON