27
Mon, Apr

SEBUAH BOT PUKAT RAWA SORONG DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KUALA KURAU, 12 November – Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong di kedudukan 1.6 batu nautika barat laut Bagan Panchor, Perak malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot itu dikesan oleh bot peronda Zon Maritim Kuala Kurau yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang sebelum dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan menemukan, seorang tekong warga tempatan berumur 44 tahun berada di bot tersebut.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen bot mendapati, bot terbabit tidak memiliki lesen dan serawan pukat rawa sorong ditemukan berada di atas bot terbabit.

Tekong ditahan manakala bot dan peralatan menangkap ikan dirampas untuk siasatan sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengoperasikan vesel tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11(b) akta yang sama iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

RAWA SORONG 2

LAKSAMANA MARITIM DATUK HAMID MOHD AMIN KETUA PENGARAH MARITIM MALAYSIA BAHARU

PUTRAJAYA, 6 November – Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang ke enam berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang telah bersara wajib pada Mac lalu.

Simbolik pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan isteri Yang Berbahagia Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Hjh Sapiah Binti Dato' Mohd Nor yang juga merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dilahirkan di Selangor pada 19 April 1964, Datuk Hamid yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, telah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserapkan ke Maritim Malaysia sebagai pegawai perintis agensi ini pada 31 Oktober 2005.

Memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah / Sarawak dalam menjaga keselamatan negara daripada pelbagai ancaman khasnya jenayah rentas sempadan, Datuk Hamid pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada tahun 2019.

Beliau turut diberikan tanggungjawab menjadi Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada tahun 2021, seterusnya pada bulan Mac yang lalu, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia.

Berlandaskan perancang strategik dan aturgerak aset yang bijak, beliau telah mencapai banyak kejayaan melalui penahanan dan pendakwaan kes berprofil tinggi seperti penyeludupan / pemerdagangan manusia, minyak, kontraban dan barangan kawalan yang melanggar undang-undang negara.

Malah beliau juga terlibat dalam pelbagai inisiatif untuk memperkuatkan hubungan kerjasama antara Maritim Malaysia dengan nelayan serta komuniti maritim dalam usaha mempertingkatkan keselamatan maritim negara.

Atas sumbangan dan jasa beliau dalam perkhidmatan maritim, Datuk Hamid telah menerima banyak pengiktirafan seperti Darjah Kebesaran Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mangku Negara (AMN) serta Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pada Ogos yang lalu.

Kini dengan peranan baharu sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, beliau diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi warga Maritim Malaysia melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar negara.

 

LAKSAMANA MARITIM
 
LAKSAMANA MARITIM 2

MARITIM NEGERI KELANTAN GAGALKAN PENCEROBOHAN BOT NELAYAN ASING VIETNAM

PASIR PUTEH, 1 November – Maritim Negeri Kelantan berjaya menahan dan merampas sebuah bot dan lima nelayan asing Vietnam dalam OP DAMAI KHAS KUDA LAUT dan OP NAGA BARAT atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Abdul Rahman berkata, KM JUJUR telah berjaya menahan bot terbabit pada jarak kira-kira 173 batu nautika daripada Tenggara Muara Tok Bali lebih kurang jam 9.20 pagi.

Menyedari kehadiran KM JUJUR, bot terbabit cuba mengelak dari ditahan dan meloloskan diri ke sempadan Vietnam. Adegan kejar-mengejar berlaku selama lebih satu jam sebelum KM JUJUR menahan bot itu dengan melakukan 'force boarding'.

Hasil pemeriksaan mendapati, seramai lima orang nelayan termasuk tekong berumur di antara 24 hingga 31 tahun berada di dalam bot itu.

Tambah beliau, hasil tangkapan bot berkenaan dianggarkan berjumlah 500 kilogram ikan campur dan 500 kilogram ikan baja. Turut dirampas ialah bot, peralatan menangkap ikan, navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 7,000 liter dengan anggaran nilai RM1.5 juta.

Bot dan lima nelayan warga Vietnam terbabit ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan negara.

Kesemua kru disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM6 juta manakala setiap kru dikenakan RM600 ribu mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985. Manakala bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih enam kali sebatan.

 

BNA KELANTAN 2

DUA BOT PUKAT DITAHAN LANGGAR SYARAT SAH LESEN

LANGKAWI, 3 November – Maritim Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan dua bot nelayan tempatan Kelas C2 dan C semasa menjalankan OP AMAN dan OP TIRIS 2.0 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan, di sini semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksmana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan pada waktu dan kedudukan berlainan kerana menangkap ikan di bawah 15 batu nautika dan kru warga asing tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara.

Bot pertama ditahan pada pukul 11.20 pagi di kedudukan 10.8 batu nautika Barat Daya Tanjung Belua. Manakala, bot kedua ditahan pada pukul 1.00 petang di kedudukan 7.4 batu nautika Barat Daya Tanjung Cincin.

Bot pertama yang ditahan adalah Kelas C2 yang membawa pukat jerut bersama 26 kru termasuk tekong. Kesemua kru adalah warganegara Thailand dan berumur lingkungan 29 hingga 55 tahun.

Empat daripada kru terbabit tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara dan telah melanggar syarat sah lesen Jabatan Perikanan Malaysia.

Bot kedua yang ditahan adalah kelas C yang membawa pukat tunda bersama tiga kru warga tempatan. Tekong dan kru berumur dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun. Bot kedua telah ditahan atas kesalahan langgar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah 15 batu nautika.

Kedua-dua bot tersebut bersama dua gulung pukat jerut dan pukat tunda, ikan campur 730 kg, dua tekong dan tiga kru ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Negeri Kedah dan Perlis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

Sebarang maklumat orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.29 AM   WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.29 AM 1   WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.30 AM   WhatsApp Image 2023 11 03 at 11.36.32 AM

BOT HANYUT KE FILIPINA | SUAMI ISTERI WARGA EMAS BERHADAPAN DETIK CEMAS

SANDAKAN, 1 November – Pasangan suami isteri warga emas berhadapan detik cemas selepas bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak dan hanyut sehingga ke perairan Filipina ketika dalam perjalanan dari Terusan Sugut menuju ke Batu Putih, Sandakan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, Md Asibih Tamang, 73, dan isterinya Fatima Ulo, 65, dilaporkan hilang selepas bertolak dari Kampung Terusan Sugut menuju ke rumah anaknya di Kampung Batu Putih dengan menaiki bot gentian kaca pada pukul 8.00 pagi, ahad lalu dan sepatutnya tiba dua jam kemudian.

Zainuddin berkata, apabila mendapati kedua-dua mereka tidak tiba pada waktu yang sepatutnya, menantu kepada pasangan terbabit, Midin bin Siran telah membuat laporan kepada pihak Maritim Malaysia tentang kehilangan pasangan itu.

Setelah mendapat laporan dari Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Sandakan, Martime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada pukul 6.30 petang hari yang sama.

Beliau menambah, walau bagaimanapun pencarian pasangan warga emas itu ditamatkan setelah mereka berdua dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di Pulau Mapun, Filipina kelmarin.

Mangsa telah diberikan bantuan oleh nelayan tempatan yang kemudiannya menghantar mereka pulang dengan menggunakan kapal nelayan dan diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia di kawasan berhampiran Tanjung Pamaguan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada keluarga mereka semalam.

Mengulas lanjut bagaimana kedua-dua mereka hanyut hingga ke perairan Filipina, mangsa memaklumkan, mereka menuju ke Batu Putih dengan menjadikan Pulau Tikus sebagai panduan perjalanan namun telah tersesat sehingga bot kehabisan minyak berhampiran Pulau Lankayan.

Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan petugas yang berada di Pulau Lankayan untuk mengisi minyak. Bagi mengelakkan daripada tersesat untuk ke destinasi yang dituju, petugas berkenaan menasihati mereka agar mengikuti sebuah kapal yang akan menuju ke Sandakan sebagai pandu arah.

Walaubagaimanapun, setelah beberapa ketika mengikuti kapal berkenaan, Md Asibih telah memintas kapal terbabit dengan alasan ia bergerak terlalu perlahan dan khuatir berlakunya ribut. Malangnya tindakan itu membuatkan mereka berdua tersesat dan kehabisan minyak semula sehingga hanyut ke Pulau Mapun, Filipina.

Berikutan kejadian itu Zon Maritim Sandakan mengingatkan kepada komuniti maritim agar patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sekiranya berlakunya insiden di laut, orang ramai boleh terus menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

 

HANYUT FILIPINA 4
 
 HANYUT FILIPINA 2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON