17
Sat, Oct

DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN

PELABUHAN KLANG, 13 Oktober – Dua vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor kerana disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti perikanan di perairan Selangor.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan pertama dilakukan pada pukul 5.00 petang Sabtu lalu di kedudukan 12.3 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sungai Besar.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat awak-awak yang kesemuanya merupakan warga Myanmar berusia antara 44 hingga 56 tahun,” katanya.

Menurut beliau, tangkapan kedua dilakukan pada pukul 5.15 petang semalam di kedudukan 26.2 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sungai Besar, Selangor.

“Pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga awak-awak yang kesemuanya merupakan warga Indonesia berusia antara 33 hingga 48 tahun.

“Kedua-dua tangkapan dilakukan oleh kapal Maritim yang sedang menjalankan rondaan rutin di perairan Selangor,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Mereka juga tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel berkenaan.

Turut dirampas ialah kira-kira 1450 kilogram ikan campur. Kedua dua vesel bersama hasil rampasan kemudiannya diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 berhubung kesalahan melanggar syarat lesen serta kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi untuk melakukan pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak,” tegas beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berhubung aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 untuk tindakan segera.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON