LUMUT, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C bersama lima kru warga Myanmar selepas disyaki melakukan beberapa kesalahan di kedudukan kira-kira 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh, Perak, pada jam 5.00 petang, Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan dilakukan oleh aset Maritim Malaysia ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 26 hingga 56 tahun dan sedang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan memiliki lesen yang sah. Bagaimanapun, tekong bersama dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua kru lain mengemukakan dokumen yang diragui kesahihannya.
“Vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan penggajian atau pembawaan warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semakan turut mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai,” katanya.
Turut ditemukan di atas vesel berkenaan ialah hasil tangkapan ikan seberat kira-kira 250 kilogram.
Kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan turut dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan bahawa pematuhan terhadap undang-undang maritim, peraturan imigresen serta syarat lesen perikanan merupakan tanggungjawab setiap pengusaha dan pengendali vesel. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.









