BESUT, 13 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu telah melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medical Evacuation – MEDEVAC) bagi membawa seorang pesakit yang mengalami sawan demam dari Klinik Kesihatan Pulau Perhentian Kecil ke Jeti Fairfield by Marriott, Besut, menggunakan kapal Maritim Malaysia, KM Bagahak.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang berkata, Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah berhubung dengan Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu selepas menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Pulau Perhentian Kecil kira-kira jam 4.27 petang berhubung seorang pesakit yang memerlukan bantuan perubatan segera.
Operasi pemindahan berkenaan dilaksanakan bagi membolehkan pesakit dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.
Penggunaan KM Bagahak dalam operasi ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memberikan bantuan kecemasan kepada masyarakat maritim, khususnya penduduk dan pengunjung di kawasan pulau yang memerlukan pemindahan segera ke tanah besar.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam memberikan bantuan kecemasan di laut dan perairan negara, selaras dengan tanggungjawab agensi dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan serta bantuan kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat.









