KUALA KURAU, 12 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menahan sebuah bot fiber bersama tiga warga Myanmar selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan barat laut Pulau Pasir Hitam, Perak, semalam.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 10.50 pagi pada kedudukan lebih kurang 4.3 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam.
“Pemeriksaan mendapati bot fiber berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah dan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan, iaitu bubu naga.
“Pemeriksaan lanjut terhadap tiga kru warga Myanmar pula mendapati mereka disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah,” katanya.
Bot fiber bersama ketiga-tiga kru kemudiannya dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan serta operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang, penggunaan peralatan tangkapan terlarang serta pelanggaran undang-undang imigresen di perairan negara.









