KUANTAN, 10 Oktober - Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan lemas di Pantai Sepat, Kuantan, ditamatkan pada jam 1.00 tengah hari tadi selepas mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
Mangsa, Muhammad Raiyan bin Anuar, 16, disahkan meninggal dunia dan dikenal pasti oleh ahli keluarganya.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Dato’ Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan kejadian melalui talian kecemasan NG999 pada jam 9.51 pagi. Susulan itu, operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 10.15 pagi.
Operasi melibatkan Maritim Malaysia Negeri Pahang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan pencarian awal tertumpu di kawasan perairan dalam lingkungan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Usaha pencarian kemudiannya diperluas di sepanjang pantai dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 12.50 tengah hari sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk tindakan selanjutnya.
MRSC Kuantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penyelamat serta orang awam atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang operasi CARILAMAT dilaksanakan.
Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di pantai, khususnya dengan mematuhi arahan keselamatan dan peka terhadap keadaan laut semasa.









