17
Sat, Oct

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN PENYELUDUPAN 65 KG GANJA DI PERLIS

KUALA PERLIS, 9 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis (IPMZ Kuala Perlis) berjaya menahan sebuah bot fiber yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah pada kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika barat pantai Kurung Tengar, Perlis, lewat malam tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, penahanan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan rondaan selepas menerima maklumat risikan berhubung sebuah bot yang disyaki bergerak dari arah sempadan Thailand menuju ke Malaysia.

Menurut beliau, bot berkenaan dikesan bergerak pada kelajuan tinggi sebelum bertindak melarikan diri dan tidak mematuhi arahan berhenti untuk pemeriksaan.

“Bot suspek turut dipercayai cuba melanggar bot rondaan kami. Demi keselamatan anggota, tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum bot berkenaan berjaya ditahan berhampiran pantai Kurung Tengar, Perlis,” katanya.

Pemeriksaan lanjut menemukan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 39 tahun serta tiga guni yang mengandungi 60 ketulan mampat disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 65.05 kilogram. Nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan hampir RM600,000.

Turut dirampas ialah sebuah bot fiber, enjin sangkut berkuasa 115 kuasa kuda serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Kesemua suspek, bersama bot dan barang rampasan, dibawa ke Jeti Tahanan IPMZ Kuala Perlis untuk tindakan serta siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Perlis, demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.

Orang ramai, khususnya komuniti maritim, diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi IPMZ Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, atau menghubungi talian kecemasan 999.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON