17
Sat, Oct

MARITIM MALAYSIA GAGALKAN CUBAAN PENYELUDUPAN MINUMAN BERALKOHOL, RAMPASAN BERNILAI RM270,000

LABUAN, 9 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menggagalkan kegiatan disyaki penyeludupan minuman beralkohol pelbagai jenama bernilai anggaran RM270,000 di Sungai Melikai, Menumbok, Sabah, awal pagi tadi.

Operasi dilaksanakan susulan maklumat risikan berkaitan kegiatan membawa barangan disyaki tidak berkastam dari perairan Labuan ke tanah besar Sabah.

Pada kira-kira jam 1.45 pagi, bot operasi Penggalang 24 mengesan dan mengekori sebuah bot kargo yang dinaiki tiga individu dari perairan Pulau Labuan menuju ke Menumbok. Bot tersebut kemudiannya dikesan merapat di lokasi pendaratan yang disyaki tidak sah di Jeti Sungai Kampung Melikai.

Serbuan di kawasan darat dilaksanakan dengan bantuan anggota pasukan bot. Bagaimanapun, ketiga-tiga individu berkenaan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran. Usaha mengesan mereka tidak berjaya berikutan faktor cuaca dan keadaan muka bumi.

Pemeriksaan menemukan sebuah bot kargo dengan muatan dianggarkan 200 karton serta dua buah lori yang membawa kira-kira 400 karton minuman beralkohol pelbagai jenama. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 600 karton bernilai RM270,000.

Kesemua barang kes telah dirampas dan disita di bawah Akta Kastam 1967 sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Labuan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Zon Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi bin Haji Idros, menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta melindungi perairan negara daripada aktiviti jenayah maritim.

Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai dan komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu usaha penguatkuasaan.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON