SANDAKAN, 8 Oktober – Kapal Maritim KM PERINGGI telah melaksanakan Latihan Penembakan Meriam Oerlikon 20MM di perairan Sandakan dengan melibatkan kru KM PERINGGI dan KM LIBARAN baru-baru ini.
Latihan ini dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan, kemahiran dan kompetensi kru dalam aspek pengendalian, kawalan serta penembakan senjata utama kapal, di samping memastikan tahap kesiapsiagaan aset sentiasa berada pada tahap optimum.
Pelaksanaan latihan turut dipantau oleh Timbalan Pengarah Logistik Maritim Zon Sandakan, Leftenan Madya Maritim Lim Chin Hoo dan Pegawai Staf Operasi, Leftenan Madya Maritim Muhammad Tajudin bin Johar bagi memastikan latihan dilaksanakan mengikut tatacara dan prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Latihan turut dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Aura Efektif Sdn. Bhd. yang merangkumi sesi teori dan praktikal berkaitan pengendalian, penembakan serta aspek penjagaan dan penyelenggaraan Meriam Oerlikon 20MM.
Sebanyak 42 butir peluru telah berjaya ditembak menggunakan Meriam Oerlikon 20MM KM PERINGGI dan keseluruhan latihan telah dilaksanakan dengan jayanya.
Latihan penembakan secara berkala merupakan antara usaha berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh tahap kompetensi kru serta memastikan aset sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi mendukung pelaksanaan tugas penguatkuasaan undang-undang, keselamatan dan operasi maritim di perairan negara.









