17
Sat, Oct

MARITIM MALAYSIA TAHAN VESEL NELAYAN TEMPATAN DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN PERIKANAN DAN IMIGRESEN

LUMUT, 28 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C bersama seorang tekong warga Malaysia dan tiga kru warga Myanmar kerana disyaki melanggar syarat sah lesen perikanan serta melakukan kesalahan berkaitan imigresen, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 3.00 petang pada kedudukan lebih kurang 4.07 batu nautika barat laut Pulau Nipis, Perak ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Beliau berkata, penahanan dilakukan oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op SAYONG, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op TIRIS di perairan negeri Perak.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga Malaysia bersama tiga kru warga Myanmar berusia antara 35 hingga 54 tahun. Semakan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan pada jarak kurang 15 batu nautika dari pantai atau pulau,” katanya.

Menurut beliau, ketiga-tiga kru warga Myanmar turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua nelayan telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan turut dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kepten Maritim Mohamad Shukri berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta syarat pelesenan perikanan, sekali gus memelihara kelestarian sumber perikanan dan keselamatan perairan negara.

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON