PASIR PUTEH, 14 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menahan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) yang disyaki menggunakan identiti Vesel Nelayan Tempatan (VNT) serta 14 nelayan warganegara Vietnam di kedudukan kira-kira 85 batu nautika timur Muara Tok Bali, Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad berkata, tangkapan dilakukan oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang dalam pelayaran pulang selepas menyertai Eksesais Sea EXTHAMAL di Thailand sebelum meneruskan rondaan operasi rutin menerusi Op NAGA, Op DAMAI, Op PELANTAR MERAH dan Op TIRIS.
Menurut beliau, aset Maritim Malaysia mengesan sebuah vesel mencurigakan bernombor pendaftaran KNF 7386 dan mengarahkan vesel tersebut berhenti untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, vesel berkenaan cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 6.32 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan membawa 14 nelayan warganegara Vietnam berusia antara 17 hingga 49 tahun yang gagal mengemukakan lesen serta dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati vesel berkenaan disyaki pada asalnya merupakan VNA yang telah diubah suai dan menggunakan identiti VNT sebagai taktik penyamaran bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Kesemua individu bersama vesel telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1985.
Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi mengekang pencerobohan vesel nelayan asing serta memastikan keselamatan, kedaulatan dan kelestarian sumber perikanan negara terus terpelihara.









