BATU PAHAT, 15 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Batu Pahat melaksanakan pelupusan lebih 300 kilogram dadah jenis syabu di Pusat Kualiti Alam, Sendayan, Negeri Sembilan, semalam.
Pelupusan dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan bagi memastikan barang kes berkaitan dadah dilupuskan secara selamat, terkawal serta tidak menjejaskan keselamatan awam dan alam sekitar.
Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal berkata, pelaksanaan tersebut melibatkan barang kes yang telah melalui proses perundangan serta mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan sebelum dilupuskan di fasiliti berlesen.
“Pelupusan ini memastikan barang kes tidak kembali ke pasaran, selain mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam menyokong usaha kerajaan membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah melalui laluan perairan negara,” katanya.
Menurut beliau, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi mengekang kegiatan penyeludupan dadah melalui perairan negara.
Pelaksanaan pelupusan ini turut mencerminkan komitmen IPMZ Batu Pahat dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara berintegriti, sistematik dan mematuhi peruntukan undang-undang.
Maritim Malaysia terus komited memperkukuh penguatkuasaan maritim bagi memastikan perairan negara kekal selamat, berdaulat dan bebas daripada ancaman jenayah rentas sempadan.









