BATU PAHAT, 5 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Batu Pahat berjaya merampas sebanyak 600 kartrij vape yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis ‘Piu Piu’ dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Senggarang, Batu Pahat, Johor, pagi semalam.
Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal berkata, dalam kejadian tersebut, sebuah bot fiber dikesan berada dalam keadaan mencurigakan ketika bot peronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan di perairan berkenaan.
“Sejurus menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, suspek yang berada di atas bot tersebut bertindak melarikan diri bersama bot fiber berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati terdapat sebuah beg berwarna hitam mengandungi lebih 600 kartrij vape yang mengandungi cecair disyaki mengandungi bahan dadah jenis ‘Piu Piu’, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM160,000,” katanya.
Kesemua barang rampasan telah dibawa ke IPMZ Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut. Sampel cecair vape berkenaan akan dihantar untuk analisis makmal bagi mengesahkan kandungan bahan yang disyaki sebagai dadah.
Maritim Malaysia menyeru orang awam serta komuniti maritim untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan kepada pihak berkuasa bagi membantu membenteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.









