PELABUHAN KLANG, 2 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua buah bot penumpang yang membawa lebihan muatan penumpang dalam satu operasi rondaan di perairan Pelabuhan Klang, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan oleh aset ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin rondaan keselamatan di perairan Selangor.
Menurut beliau, tangkapan telah dibuat sekitar pukul 5.30 petang dan 5.50 petang di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat Pelabuhan Klang.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, kedua-dua bot tersebut dikendalikan oleh seorang nahkoda dan seorang kru masing - masing, melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun,” katanya lagi.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen dengan membawa lebihan penumpang.
“Kedua-dua bot masing-masing membawa 40 dan 42 penumpang, sedangkan jumlah maksimum penumpang yang dibenarkan mengikut syarat lesen hanyalah 32 dan 34 orang,” jelasnya.
Susulan itu, kedua-dua bot bersama kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menegaskan bahawa pengusaha bot penumpang dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi syarat lesen serta peraturan yang telah ditetapkan sebelum menjalankan operasi.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda sentiasa terpelihara,” katanya.
Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa peka dan mematuhi syarat sah lesen yang telah ditetapkan, selaras dengan usaha memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau 999 untuk maklum balas segera.













