PELABUHAN KLANG, 31 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal minyak di perairan negeri ini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan atas aduan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK). Bot ronda yang bertugas telah diaturgerak ke lokasi kapal tersebut.
Jelas beliau, kapal tangki tersebut ditahan pada pukul 3.00 petang semalam di kedudukan 0.9 batu nautika barat Pelabuhan Klang. Pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang nahkoda bersama empat kru, kesemua mereka warga Indonesia yang berumur antara 21 hingga 59 tahun.
“Kesemua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, walau bagaimanapun nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” tambah Abdul Muhaimin.
Beliau turut memaklumkan, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan nahkoda kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
Tegas Abdul Muhaimin, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Negeri Selangor sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.
Beliau turut menyeru orang ramai, khususnya komuniti maritim, agar menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-8995 7820 untuk tindakan segera.










