LUMUT, 31 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C kerana didapati melanggar syarat sah lesen apabila menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan tersebut dilakukan pada sekitar pukul 12.18 tengah hari di kedudukan kira-kira 7.23 batu nautika barat daya Pulau Buloh ketika Kapal Maritim (KM) NUSA sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga orang awak-awak warga Myanmar.”
“Kesemua awak-awak memiliki dokumen pengenalan diri (kad MRO), namun tekong didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk pemeriksaan,” ujar beliau.
Susulan itu, kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
Maritim Negeri Perak memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, dan akan terus memperhebatkan rondaan serta penguatkuasaan di perairan negeri bagi membanteras pencerobohan dan aktiviti haram.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 untuk tindakan dan maklum balas segera.












