LABUAN, 25 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan meneruskan pencarian seorang kru bot nelayan yang dikhuatiri terjatuh ke laut di perairan Tanjung Kubung untuk hari kedua hari ini.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Hj Idros berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) memasuki hari kedua ini dimulakan seawal pukul 7.00 pagi dengan pembahagian sektor pencarian melibatkan keluasan kira-kira 68 batu nautika persegi.
Menurut beliau, operasi dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan beberapa aset Maritim Malaysia serta agensi keselamatan lain bagi meningkatkan keberkesanan pencarian mangsa.
“Antara aset digerakkan ialah KM LAHAD DATU yang meliputi sektor B-1 bersama Bot PENGGALANG 24, Bot PSC 1 milik Pasukan Polis Marin di sektor B-3, serta sebuah Bot Kevlar milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menumpukan pencarian di kawasan pesisir pantai sekitar utara Labuan,” katanya.
Terdahulu mangsa dikenali sebagai Rosli bin Awit, 49, warganegara Malaysia berasal dari Tawau, Sabah, dipercayai terjatuh ke laut kira-kira pukul 8.43 pagi pada hari kejadian. Mangsa dilaporkan kali terakhir memakai baju lengan panjang berwarna biru.
Izwanhadi dalam pada itu turut berkata, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan bergantung kepada keadaan cuaca serta faktor keselamatan anggota dan aset terlibat.
Orang awam, khususnya komuniti maritim dan nelayan yang berada di sekitar perairan Tanjung Kubung, diminta menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu usaha pencarian.
Maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.










