29
Wed, Apr

MARITIM MALAYSIA BANTU PEMINDAHAN BAYI LAPAN BULAN ALAMI PENDARAHAN DALAMAN DARI PULAU TIOMAN

KUANTAN, 25 DISEMBER – Seorang pesakit bayi berusia lapan bulan yang mengalami pendarahan dalaman (Intracranial Bleed) telah berjaya dipindahkan dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Mersing menerusi operasi bantuan pemindahan yang dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan, hari ini.

Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab berkata, MRSC Kuantan telah menerima panggilan kecemasan daripada petugas kesihatan Klinik Kesihatan Tekek lebih kurang pukul 4.45 petang semalam, yang memohon bantuan pemindahan segera pesakit, Siti Haura Eleena binti Ederus, berikutan keadaan kesihatan yang kritikal.

“Maklumat awal telah disalurkan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pahang dan aset bot PERKASA 1246 diaturgerakkan ke lokasi. Namun, usaha tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan laut yang sangat teruk dan berbahaya kepada keselamatan kru.” katanya.

“Percubaan kedua untuk menggerakkan bot pagi tadi juga tidak berjaya atas faktor yang sama. Susulan itu, MRSC Kuantan telah memohon bantuan Kapal Maritim (KM) TATAU bagi melaksanakan pemindahan pesakit tersebut.” ujar beliau lagi.

Kapal berjaya tiba di Jeti Pulau Tekek pada pukul 11.00 pagi walaupun berdepan dengan ombak dan arus yang kuat.

Pesakit bersama pegawai perubatan Klinik Kesihatan Tekek dan diiringi kedua-dua ibu bapanya dibawa menaiki kapal tersebut dan kemudiannya berlepas dari jeti pada pukul 11.30 pagi menuju ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum selamat tiba pada pukul 1.40 petang.

Pesakit seterusnya diserahkan kepada ambulans Hospital Mersing untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Maritim Malaysia menasihati orang ramai agar segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 sekiranya berlaku sebarang insiden atau kecemasan di laut.

MEDEVAC BAYI
 
MEDEVAC BAYI2
 
MEDEVAC BAYI5
 
MEDEVAC BAYI6

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON