MELAKA, 10 NOVEMBER – Sebuah kapal tangki disyaki menyimpan kira-kira 50 tan metrik minyak diesel bernilai hampir RM180 ribu tanpa dokumen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di perairan Kuala Melaka, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin bin Zakaria, berkata kapal tersebut ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Operasi Murni dan Operasi Tiris 3.0 di perairan Selat Melaka.
“Bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah kapal tangki yang sedang bersauh kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Kuala Melaka,”
“Pemeriksaan mendapati kapal itu menyimpan kira-kira 50 tan metrik bahan disyaki minyak diesel di dalam tangkinya,” jelas Salehuddin.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang invois pembelian atau dokumen pengesahan pemilikan bahan bakar tersebut.
Siasatan awal mendapati kapal tangki itu berasal dari Batam, Indonesia, dan dipercayai telah mengambil minyak diesel di perairan Melaka untuk dibawa keluar tanpa sebarang kebenaran atau dokumen sah.
Terdahulu, kapal tersebut telah dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 46 tahun. Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 kerana gagal mengemukakan dokumen pembelian bahan bakar yang sah, serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan dan menafikan pemilikan bahan kawalan tersebut.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan operasi di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan bahan api yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.











