BALTIMORE, 6 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah baharu apabila menerima secara rasmi kapal Ex-United States Coast Guard (USCG) Cutter Steadfast dalam satu majlis penuh istiadat di Waterfront Operation Training Center (WOTC), Amerika Syarikat hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan detik bersejarah apabila Deputy Chief Acquisition Officer and Director of Domain & Integration Services USCG, Mr James Knight, menandatangani Certificate of Transfer dan menyerahkan Kapal Ex-USCG Cutter Steadfast kepada Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman.
Turut hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram bin Yaakob, Pengarah Bahagian Risikan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi bin Othman dan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah,
Dalam ucapannya, Mr James Knight berkata, kapal yang diserahkan merupakan kapal yang ditauliahkan pada 1968 dan telah berkhidmat dengan cemerlang selama 56 tahun.
Menurutnya lagi, kehadiran kapal ini dalam armada Maritim Malaysia diharap mampu memperkukuh keselamatan maritim negara.
Sementara itu, Datuk Haji Mohd Rosli menzahirkan ucapan tahniah kepada semua kru yang berjaya menamatkan latihan dengan penuh komited dan dedikasi.
Beliau menyifatkan penerimaan Ex-USCG Cutter Steadfast sebagai simbolik kepada hubungan kerjasama erat Malaysia dan Amerika Syarikat, khususnya antara Maritim Malaysia dan USCG.
Beliau turut memaklumkan, kapal ini bakal memulakan pelayaran pertamanya dengan kru baharu yang bakal mencatat sejarah tersendiri sebagai pelayaran paling jauh dan paling lama dalam sejarah Maritim Malaysia iaitu dengan merentasi Lautan Atlantik, Mediterranean, Laut Merah, Terusan Suez dan Lautan Hindi.
Datuk Haji Mohd Rosli menambah, aset baharu ini diharap akan meningkatkan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan zon maritim negara, selain memperluas ruang kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam aspek latihan, pertukaran teknikal serta pembangunan kapasiti.
Terdahulu seramai 50 kru terdiri daripada sembilan pegawai dan 41 anggota Maritim Malaysia menerima Sijil Tamat Latihan selepas berjaya menamatkan program intensif tujuh minggu bagi pengoperasian 210’ Reliance Class Medium Endurance Cutter (MEC).












