27
Mon, Apr

MARITIM MALAYSIA PERHEBAT KERJASAMA MELALUI OP NAGA BARAT

KUANTAN, 20 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasakan OP NAGA BARAT melalui satu mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab turut melibatkan penyertaan pelbagai agensi antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Pahang, Jabatan Laut Malaysia (JLM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), PETRONAS serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Turut serta adalah wakil dari Maritim Negeri Terengganu, Maritim Negeri Kelantan, dan Zon Maritim (ZM) Mersing.

Mesyuarat pada kali ini menumpukan kepada usaha membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, terutamanya oleh Vesel Nelayan Asing (VNA) yang menceroboh perairan negara di Timur Semenanjung, meliputi kawasan Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Mersing.

Menurut Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan, operasi ini akan terus diperkasa melalui pengukuhan kerjasama antara agensi bagi memastikan kedaulatan maritim negara sentiasa terpelihara.

“Kesepaduan operasi dan perkongsian maklumat antara agensi adalah faktor utama dalam memastikan OP NAGA BARAT dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta mampu menangani ancaman keselamatan perairan dengan lebih baik,” katanya.

Mesyuarat ini turut membincangkan aspek kesiapsiagaan aset, pelaksanaan operasi bersepadu, perkongsian maklumat risikan, serta strategi jangka panjang dalam meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.

Dalam sesi pembentangan, Leftenan Komander Maritim Mohammad Asyraf bin Ab Ghani dari Maritim Negeri Terengganu membentangkan statistik pencapaian operasi, manakala wakil PETRONAS, Encik Mohd Ikmal Hisyam bin Abu, memberikan taklimat mengenai penguatkuasaan keselamatan di pelantar minyak.

Maritim Malaysia komited untuk terus memperkukuh operasi ini bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman pencerobohan dan aktiviti haram.

 

ONB MNP
 
ONB MNP2
 
ONB MNP3
 
ONB MNP4

 

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON