KUALA KURAU, 22 FEBRUARI – Operasi bot Benteng 03 Zon Maritim Kuala Kurau membuahkan hasil apabila hasil rondaan di sekitar perairan Kerian telah menjumpai 63 unit bubu naga di posisi 5.4 batu nautika Barat laut Pulau Kalumpang pada jam 8.00 malam semalam.
Hasil rampasan 63 unit bubu naga dianggarkan sejumlah lebih tujuh ribu ringgit dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah seksyen 11(3)( c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan mengunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Maritim Malaysia menegaskan supaya komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.












